HALAMAN SANTAI

Ahad, 5 Julai 2009

Apakah boleh wujud Dinar Emas Kedah?

Arifin Mahmud


Rancangan Halaqah TV9, 7 Mei lalu menampilkan tajuk yang menarik; emas. Ia menyentuh isu fatwa hukum, pembayaran zakat, daripada sekecil-kecilnya sehinggalah kepada isu yang sebesar-besarnya.

Bagaimanapun, ada gesaan yang dimajukan panelis yang menyebutkan bahawa betapa perlunya kerajaan menukarkan mata wang hari ini kepada Dinar Emas.

Akhirnya, perbincangan itu menjurus kepada kedudukan sebagai pelaburan dan bukan perhiasan. Tambah beliau, seorang sarjana ekonomi Muslim pernah berfatwa bahawa haram diguna wang kertas dalam sebarang urusniaga dan urusan kewangan.

Bertolak daripada fatwa itulah maka beliau menyarankan supaya wujudnya gesaan untuk mendesak kerajaan agar segera beralih kepada penggunaan dinar emas.

Aliran-aliran pandangan ekonomi

Kini, dunia menyaksikan keruntuhan ekonomi kapitalis. Asal-usulnya kebanyakan wang disandarkan kepada emas sejak zaman penmerintahan Islam.

Malah, sejak zaman Kesultanan Melayu Melaka, wang emas telah dipakai di rantau ini. Sejak penjajahan berlangsung, maka penggunaan emas sebagai matawang telah asing. Adakah kita serius berwacana mengenai emas sebagai matawang ini?

Kalaupun wujud wacana itu, ia mungkin terlalu eksklusif sehinggakan masyarakat tak fikir ia adalah sesuatu yang sangat penting.

Ada banyak hal yang perlu dibahas tentang emas. Kita tak lagi bercakap hal emas sebagai barangan perhiasan, bukan lagi emas sebagai barang yang wajib dikenakan zakat jika cukup haulnya, mencapai berat 85 gram apabila ia disimpan sebagai pelaburan. Hal ini telah lama berlalu dan berlangsung begitu lama.

Yang kita perlu bincang, adakah rantau Asean, Nusantara misalnya perlu wujud sejenis matawang baru seperti mana Eropah yang mengadakan pakatan Kesatuan Eropah, lalu berhasil mewujudkan matawang Euro?

Atau Malaysia boleh menjadi peneraju kepada usaha melancarkan penggunaan matawang baru yang dilancarkan di peringkat Benua Asia di mana matawang baru yang seumpama Euro itu boleh disandarkan dengan nilai emas?

Ini tentu memerlukan rancangan rapi dan golongan bijak pandai perlu memberi maklumbalas segera. Ini perlu memandangkan ekonomi dunia makin tenat kerana amalan kapitalis yang merebak penggunaannya sebelum ini ke serata dunia.

Kita cuma tinggal mahu berpegang kepada dua jenis sistem ekonomi; sosialisme atau pun Islam sebagai gantian kapitalis yang hampir menjunam.

Amerika gugur nilai emas daripada dollar

Presiden A.S Richard Nixon telah menggugurkan nilai emas daripada setiap dollar Amerika sejak 1970-an ekoran masalah ekonomi yang melanda negara itu.

Ditakdirkan bahawa Nixon tidak rebah ekoran membuat keputusan berhubung sandaran dollar kepada emas. Bagaimanapun, Nixon tetap rebah kerana duit juga berkaitan Skandal Watergate.

Sebelum itu, dollar Amerika disandarkan kepada emas. Sejak keputusan yang dilakukan Nixon itu, maka bermula petaka ke atas dunia.

Apa pun, gesaan terbuka dalam Halaqah Mei lalu supaya dikembalikan semula dinar emas, rasanya takkan kekal lama. Ini kerana, masyarakat kita bukan suka wacana ilmiah.

Maka, manusia-manusia yang sedar perlu segera berkumpul, berhimpun, berbincang dan bertindak melobi pembuat dasar.

Emas ditemui di Pendang?

Akhir-akhir ini meletus berita baru mengenai penemuan bijih emas di Kg Jelutong, Tobiar, Pendang, Kedah sejak Rabu lalu. Ekoran itu, ramai pihak berduyun-duyun pergi ke kawasan tersebut memburu emas.

Tidak diketahui sejauhmana logam terebut boleh disahkan ketulenannya sebagai emas. Menteri Besar Kedah Dato' Seri Azizan Abdul Razak berkata pihaknya akan mengarahkan Pejabat Tanah dan Galian menutup tersebut jika pihak berkuasa mengesahkan logam kuning berkilauan yang ditemui itu adalah emas.

"Bahagian teknikal di jabatan itu akan menentukan terlebih dulu sama ada logam berkenaan adalah emas atau bahan lain yang menyerupai emas.

"Hasil kajian itu mereka juga akan mengemukakan cadangan kepada kerajaan negeri mengenai langkah yang perlu diambil selepas itu.

"Jika ia mengandungi emas, PTG akan mengawal kawasan berkenaan supaya logam berkenaan tidak boleh dilombong sesuka hati kerana ia adalah hasil kerajaan negeri berdasarkan Enakmen Mineral," kata Azizan kepada pemberita.

Azizan berkata, setakat ini kerajaan masih belum dapat memastikan sama ada kawasan sekitar tapak kuari itu mengandungi deposit emas yang boleh dikomersialkan.

Katanya, jika logam itu disahkan emas dan ia mempunyai deposit yang tinggi serta boleh dilombong secara komersial, kerajaan negeri bersedia memanfaatkan sumber galian itu supaya memberi hasil kepada negeri ini.

Dinar Emas di Kedah perlu komersial

Kerajaan Negeri Kelantan misalnya telah mewujudkan Permodalan Kelantan Berhad (PKD) dan antara pembangunannya ialah menaja Dinar Emas Kelantan.

Negeri-negeri di bawah Pakatan Rakyat kini semakin banyak hasil galiannya yang ditemui ketika mereka memerintah. Ini tidak banyak berlaku ketika BN memerintah. Sebab itulah, hasil galian petroleum di Kelantan ada unsur kecurangan di pihak kerajaan persekutuan.

Jika benar, hasil galian tapak kuari di Pendang itu sememangnya emas, maka Umno tidak teragak-agak mahu menumbangkan Kedah seperti mana kacau-bilau yang berlaku di Perak dan akhir-akhir ini di Pulau Pinang.

Lebih baik jika hasil galian ini diuruskan oleh orang-orang yang baik dan bukannya orang-orang yang buruk akhlaknya. Mesti ada sebab kenapa 'disembunyikan' galian itu dan akhir-akhir ini setelah PR memerintah di Kedah, muncul berbagai hasil galian pula di muka bumi ini.

Tiada dalam fikiran Najib sebagai Menteri Kewangan untuk mewujudkan Dinar Emas ini. Maka, kita perlukan kumpulan pelobi dinar emas yang berterusan untuk kerja memahamkan Najib.

Akhir-akhir ini pun, Najib telah mewujudkan Baitul Mal dalam keadaan dia berasa 'susah hati' kerana badan itu mungkin diletakkan di bawah kerajaan negeri dan bukannya kerajaan persekutuan.

Bukan idea Najib untuk mewujudkan Baitul Mal, melainkan hal itu mestilah datang daripada orang-orang di sekeliling Najib ada ada fikrah Islami.

Najib mungkin kesal kerana, sesuatu yang bersandarkan kepada agama Islam, maka sultan di negeri masing-masing ada hak ke atasnya. Ruang kerajaan persekutuan untuk mengusik wang Baitul Mal itu mungkin sedikit sukar di pihak Najib.

Apa pun, kerajaan Kedah sepatutnya melakukan lebih banyak kajian bagi mencari galian-galian baru untuk menentang musuh mereka yang tamak selama ini.

Ibnu Omar r.a berkata: "Pada suatu masa dibawa ke hadapan Rasulullah s.a.w sepotong emas. Dan emas itu adalah emas zakat yang pertama sekali dikutip. Emas itu telah dibawa oleh Bani Sulaim dari tempat tambang (galian) mereka. Maka sahabat berkata:

"Hai Rasulullah! Emas ini adalah hasil dari galian kita." Lalu, Nabi s.a.w menjawab, "Nanti kamu akan dapati banyak galian-galian, dan yang akan menguruskannya adalah orang-orang yang jahat." [Hadis riwayat al-Baihaqi.]

Maka, hendaklah kerajaan yang baik menguasai kekayaan negeri ini dengan sebaik-baiknya. Jika ada dua negeri PR (Kedah dan Kelantan) yang sedang berusaha keras memajukan idea Dinar Emas, maka suatu masa nanti Kerajaan Persekutuan mungkin akan terpaksa tunduk dengan langkah-langkah kita ini.

Selain itu, kita perlu pasukan pelobi dinar emas yang berterusan juga untuk membangkitkan kesedaran ke atas penguasa, dan rakyat seluruhnya berhubung keperluan menjadikan dinar emas sebagai alat pertukaran barang ini. _

Tiada ulasan: