UTUSAN ONLINE
KUALA LUMPUR – Menteri Tenaga Kerja dan Transmigrasi Indonesia, Dr. Ir. Erman Suparno berkata, langkah membekukan penghantaran pembantu rumah republik itu ke Malaysia dijangka ditarik balik awal Ogos depan.
Beliau optimis berhubung perkara itu selepas kerajaan Malaysia menunjukkan respons amat positif ketika pertemuannya dengan Menteri Sumber Manusia, Datuk Dr. S. Subramaniam di Putrajaya hari ini.
Bagaimanapun, beliau berkata, apa jua keputusan tetap bergantung kepada hasil perbincangan serta rundingan antara wakil dari kedua-dua negara yang dijadual diadakan pada 15 Julai ini di sini.
“Pada 15 Julai ini wakil dari Indonesia dan Malaysia akan berbincang mengenai usaha bagi menilai semula memorandum persefahaman (MoU) mengenai pekerja asing yang dimeterai pada Mei 2006.
“Kita akan melihat apakah perkembangannya tetapi saya yakin keputusannya dijangka positif dan jika ini yang berlaku penghantaran pembantu rumah kembali normal pada Ogos nanti,’’ katanya pada sidang akhbar di Kedutaan Besar Indonesia di sini hari ini.
Pada 25 Jun lalu, Indonesia telah mengarahkan agensi-agensi pekerjaan republik itu menghentikan penghantaran pembantu rumah ke Malaysia.
Arahan itu dikeluarkan berikutan banyak aduan para pekerja bahawa mereka telah didera oleh majikan dan ia kekal sehingga Malaysia menjamin keselamatan pembantu rumah yang bekerja di negara ini.
Dalam pada itu, Erman berkata, Malaysia dan Indonesia perlu menilai semula MoU tersebut kerana kedua-dua negara telah mencapai beberapa perundangan baru yang tidak selari dengan perjanjian bersama itu sejak ia ditandatangani.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan