HALAMAN SANTAI

Isnin, 6 Julai 2009

Kempen BN turut tumpu isu tempatan

Jimadie Shah Othman


Tidak seperti yang dijangka oleh PAS, Umno juga akan memfokuskan kempen mereka kepada isu-isu tempatan bagi menarik pengundi dalam pilihanraya kecil DUN Manek Urai.

"Penduduk Manek Urai banyak terlibat dengan hasil pertanian, kita akan cuba mempertingkatkan pengeluaran hasil pertanian (penduduk)," kata calon BN, Tuan Aziz Tuan Mat sejurus selepas selepas proses penamaan calon pagi ini.

Bekas pengurus bahagian pemantauan projek Lembaga Lemajuan Kelantan Selatan (Kesedar) itu berkata, oleh kerana Manek Urai merupakan kawasan kampung, maka isu nasional tidak timbul.

Berdasarkan pengalamannya berkhidmat lama di di Manek Urai, Tuan Aziz yakin dikenali baik penduduk tempatan.

Manakala Mohd Fauzi Abdullah pula enggan mengulas panjang selepas keluar daripada SMK Sultan Yahya Petra 1.

"Rakyat di sini sudah lama kenal saya. Insya-Allah, kalau tidak boleh serupa pun, seakan-akan," katanya yang mahu namanya dicetak "Abi Uji" dalam borang pengundian.

Pada 18 Jun lalu, Timbalan Pengarah Pilihanraya PAS negeri, Nasir Daud berkata, mereka akan menggunakan strategi melokalisasi kempen pilihanraya kecil di Manek Urai kerana percaya BN akan cuba menasionalkannya.

Kepimpinan Nik Aziz

Seiring dengan strategi itu, kepimpinan Mursyidul Amnya PAS, Datuk Nik Aziz Nik Mat sebagai seorang tokoh agama berpengaruh, menjadi taruhan penting parti itu.

Dalam kemeriahan menjelang penamaan calon kali ini juga, kelihatan poster Nik Aziz dalam keadaan berdoa dipasang dan dibawa di mana-mana.

Manakala poster presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang pula belum kelihatan.

PAS juga menggunakan slogan, "Tok Guru memimpin Manek Urai berkat" manakala BN pula dengan slogannya "Rakyat didahulukan, Manek Urai diutamakan."

Kira-kira 80 peratus daripada kira-kira 30,000 penduduk Manek Urai, bergantung kepada pokok getah sebagai punca rezeki.

Terletak kira-kira 110km dari Kota Baharu, ia dikategorikan sebagai kawasan luar bandar penghubung utama dengan bandar Kuala Krai dan Gua Musang.

Pada 14 Julai ini, 12,293 pemilih, termasuk 25 pengundi pos, akan memilih calon mereka. Mereka terdiri daripada 99.22 peratus pengundi Melayu, 0.46 peratus Cina dan India 0.23 peratus.

Tiada ulasan: