Oleh ZAMZURINA AHMAD
KUANTAN - Kerajaan mungkin terpaksa mengimport bekalan ayam sekiranya penternak di negara ini terus berdegil mahu menaikkan harga bahan makanan itu.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menegaskan, langkah itu akan dilakukan sebagai pilihan terakhir jika penternak tidak berganjak daripada keputusan mereka.
Jelas beliau, langkah mengimport bahan makanan itu boleh diambil pada bila-bila masa kerana Kabinet telah meluluskan Permit Import (AP) ayam bertujuan menstabilkan harga ayam.
''Itu sebagai alternatif kerana jika kita hanya terlalu bergantung kepada kuasa yang ada iaitu penternak, mereka akan melakukan apa sahaja termasuk melepaskan ribuan anak ayam bagi mendesak kenaikan harga.
''Jika trend kenaikan harga ayam semakin mendadak maka kerajaan tidak akan teragak-agak untuk mengimport bekalan bahan makanan itu," katanya kepada pemberita selepas majlis dialog bersama peniaga dan pengguna Pahang di sini hari ini.
Pada majlis dialog itu, beberapa peserta mempertikaikan keberkesanan kementerian dalam mengawal harga barangan termasuk ayam dan menyifatkan ia hanya dikawal ketika menjelang musim perayaan.
Ismail Sabri berkata, sejak beliau memegang portfolio berkenaan, harga ayam seolah-olah sengaja dinaikkan oleh penternak dengan alasan permintaan bertambah.
''Ketika mula-mula merebaknya selesema babi, kita dapati permintaan terhadap ayam meningkat dan mereka bertindak menaikkan harga sehingga mencecah 60 sen sekilogram dan alasan ini tidak boleh diterima.
''Kita juga mendapati harga makanan untuk ternakan ayam tidak naik, jadi mengapa mereka perlu naikkan harga ayam. Jika keadaan ini berterusan, kita terpaksa mengimport ayam bagi melindungi pengguna," tegasnya.
Mengulas tindakan kira-kira 100 penternak ayam daging yang menghantar 4,000 anak ayam sebagai simbolik bantahan ke Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Johor di Kota Iskandar, kelmarin, katanya, tindakan itu seolah-olah mahu 'membunuh' diri mereka sendiri.
''Mereka tidak langsung memikirkan soal kebajikan pengguna dan sanggup melakukan perkara itu hanya kerana mahukan harga ayam dinaikkan.
''Ini merupakan satu perkara yang tidak adil dan melampaui batas termasuk penganiayaan terhadap haiwan ternakan itu," jelasnya.
Terdahulu selepas melawat Pasar Basah Kuantan di sini, Ismail Sabri berkata, Pahang akan menjadi perintis kepada program Price Watch Pasar Basah di pasar-pasar besar sebelum diperluaskan ke seluruh negara.
Menerusi program itu, jelas beliau, pihaknya akan meletakkan sebuah papan tanda di setiap pasar seluruh negara yang memaparkan senarai harga setiap bekalan seperti ikan, daging dan sayur-sayuran.
''Kerajaan akan berbincang dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk mewujudkan papan tanda berkenaan yang dinamakan sebagai 'Price Watch Pasar Basah.'
''Ia akan memudahkan pengguna untuk membuat perbezaan harga sebelum membuat pembelian," jelasnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan