BERITA HARIAN ONLINE
KUCHING: Kerajaan Sarawak akan mengarahkan semua pengunjung Festival Muzik Hutan Hujan Sedunia (RWMF) membasuh tangan dan memakai topeng sebelum memasuki tapak konsert bagi mengelakkan jangkitan wabak Influenza A (H1N1).
Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Dr George Chan Hong Nam, berkata kerajaan akan memperuntukkan antara 20,000 hingga 30,000 topeng bagi diedarkan kepada pengunjung, selain menyediakan tempat khas untuk membasuh tangan.
Katanya, langkah itu diambil berikutan kebimbangan terhadap wabak berkenaan dan semua pengunjung tidak kira warga tempatan atau pelancong akan diberi topeng dan diminta membasuh tangan sebelum dibenarkan masuk ke Kampung Budaya Santubong (SCV) bagi menyaksikan persembahan.
"Kerajaan sedaya upaya akan berusaha mengambil langkah pencegahan termasuk merancang langkah mengeluarkan penonton sekiranya berlaku jangkitan," katanya pada sidang media di sini, semalam.
Kebimbangan berlaku penularan H1N1 ketika RMWF berlangsung pada 10 hingga 12 Julai depan mula dibangkitkan dengan kerajaan meminta Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak menyediakan klinik khas bagi memantau pengunjung.
Difahamkan, sekiranya terdapat pengunjung yang mengalami simptom H1N1 ketika konsert berlangsung, seluruh kawasan SCV akan dikosongkan serta-merta dengan pengunjung akan diminta melakukan saringan.
Ditanya mengenai kewajaran RWMF dibatalkan, Dr Chan berkata, itu adalah langkah terbaik bagi menghalang penularan di kalangan penduduk tempatan namun ia membabitkan banyak pihak dan individu.
"Saya berpendapat festival itu ditangguh sehingga wabak ini reda namun berikutan tarikhnya semakin hampir, kita tidak dapat melakukannya malah ada artis antarabangsa sudah tiba.
"Dengan pelbagai langkah pencegahan, kita berharap wabak ini dapat dikawal dengan orang ramai masih boleh terus menghayati semangat festival itu," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan