HALAMAN SANTAI

Sabtu, 25 Julai 2009

Teladani sikap Kartika

MYMETRO


ISU hukuman sebat yang dijatuhkan Mahkamah Tinggi Syariah Kuantan terhadap model sambilan yang didapati bersalah minum arak wajar dipandang positif sebagai pendidikan dan pengajaran kepada pesalah yang melakukan kesalahan berkenaan.

Hukuman enam sebatan dan denda RM5,000 terhadap Kartika Sari Dewi Sukarno, 32, Isnin lalu, selepas mengaku salah minum arak di sebuah hotel di Cherating, Kuantan 11 Julai tahun lalu wajar dijadikan teladan dan contoh baik kepada mereka yang melakukan kesalahan sama.

Pelbagai pihak menyokong hukuman ini antaranya Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria yang menyarankan supaya mencontohi sikap Kartika yang berani mengaku kesilapan diri yang dilihat seolah-olah memalukan diri sendiri.

Menurutnya, keputusan Kartika itu tepat kerana ia berdasarkan undang-undang syariah yang ditetapkan iaitu mengikut Seksyen 136 Enakmen Pentadbiran Agama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang 1982 (Pindaan 1987). Oleh itu, jelaslah tiada pihak berhak untuk mempertikaikannya.

Mufti Pahang, Datuk Abdul Rahman Osman pula berkata, hukuman denda dan penjara tidak akan memberi kesedaran dan pengajaran kepada pesalah jenayah syariah berikutan denda boleh dibayar, tetapi hukuman rotan pasti meninggalkan kesan dan keinsafan.

Menurutnya, mengikut Seksyen 136 Enakmen Pentadbiran Agama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang 1982 (Pindaan 1987), kesalahan meminum/menjual/ membeli minuman yang memabukkan boleh dihukum denda tidak melebihi RM5,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya dan tidak melebihi enam kali sebatan.

Yang penting di sini ialah kesedaran dan keinsafan serta pengakuan Kartika yang mahu hukuman dikenakan terhadapnya dijalankan secepat mungkin kerana bersalah terhadap diri sendiri dan keluarga.

Dalam menegakkan amar makruf dan nahi mungkar ia satu tugas kekhalifahan setiap Muslim dalam membangun kesejahteraan ummah. Islam menggariskan betapa pentingnya penjagaan dan pengawasan kehidupan masyarakat dengan mengamalkan kebaikan dan mencegah kemungkaran dan kejahatan sesuai dengan konsep umat Islam adalah umat yang satu, menjadi contoh kepada umat lain.

Dalam hal ini, Allah s.w.t berfirman yang bermaksud: “Hendaklah ada di antara umat yang menyeru kepada kebaikan, menyuruh dengan makruf dan melarang daripada yang mungkar dan mereka itulah yang berjaya.” (Ali Imran: 104).

Berkenaan minum arak, Allah berfirman yang bermaksud: “Dengan minuman keras dan judi itu, syaitan hanya bermaksud menimbulkan permusuhan dan kebencian di antara kamu daripada mengingat Allah dan melaksanakan solat, maka tidakkah kamu mahu berhenti?” (Al Maidah: 91).

Konsep pendidikan al-Quran yang menekankan umat Islam khususnya melaksanakan tanggungjawab melaksanakan amar makruf dan nahi mungkar adalah untuk mengangkat martabat peradaban ummah yang dapat menjamin keadilan, keselamatan dan kesejahteraan masyarakat dan negara.

Justeru, bimbingan akhlak mulia dan nilai murni amat penting bagi melahirkan insan berbudi luhur, berakhlak mulia ke arah membimbing masyarakat bertakwa, beriman dan beramal salih.

Oleh itu, hukuman rotan yang dilaksanakan untuk memberi pengajaran dan bukan mendera. Masyarakat Melayu sejak dulu mendidik anak dengan merotan apabila melakukan kesalahan besar seperti mencuri.

Dalam hal hukuman rotan di Arab Saudi, hukuman dilakukan apabila seseorang didapati bersalah oleh mahkamah bagi kesalahan berkhalwat, merompak dan mengganggu ketenteraman awam untuk menegakkan syiar Islam serta amar makruf dan nahi mungkar.

Menurut Abdul Rahman Mohamed, dalam bukunya, ‘Kaedah Mendidik Isteri dan Anak, Antara Galakan dan Larangan Memukul Dalam Islam’ menyatakan Singapura adalah antara negara yang mengamalkan dasar merotan penjenayah tanpa ‘mengira bulu’. Rakyat Singapura tidak mudah melupakan kes Michael Fay, belia Amerika yang melakukan perbuatan merosak harta benda awam di Singapura. Akhirnya dia dijatuhkan hukuman penjara dan sebatan rotan pada Mei 1994.

Keinsafan selepas melakukan kesalahan atau dosa mengandungi harapan bahawa betapa besarnya dosa seseorang itu masih ada ruang baginya bertaubat dan mendapat keampunan daripada Allah.

Justeru, pendidikan menurut al-Quran dan hadis memberi pendedahan hakikat kemampuan manusia untuk dibina bagi membentuk manusia beriman yang seluruh peribadinya dijiwai ajaran al-Quran.

Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: “Allah mengasihi hamba yang menggantung di rumahnya rotan untuk mendisiplinkan keluarganya.” (Riwayat al-Dailami)

Rasulullah s.a.w pernah ternampak Abu Bakar r.a. memukul hambanya, Baginda hanya tersenyum dan tidak berkata apa-apa kepadanya.” (Riwayat al-Hakim).

Dalam hadis lain Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Suruhlah anak-anak kamu solat apabila mereka berusia tujuh tahun dan pukullah mereka apabila umur mereka menjangkau 10 tahun kerana tidak mahu melaksanakannya dan pisahkan mereka (lelaki dan perempuan) daripada tempat tidur.” (Riwayat al-Tirmizi).

Dalam al-Quran jelas menerangkan masalah pukul atau sebatan sebagai pengajaran dan bukan deraan. “Penzina perempuan dan penzina lelaki, pukullah masing-masing daripada keduanya seratus kali dan janganlah rasa belas kasihan kepada keduanya mencegah kamu untuk (menjalankan) agama (hukum) Allah, jika kamu beriman kepada Allah dan hari kemudian dan hendaklah (pelaksanaan) hukuman mereka disaksikan oleh sebahagian orang yang beriman.” (Surah An-Nur: 2).

Sesungguhnya pendidikan yang dilakukan secara berhemah untuk mendidik akan melahirkan generasi Islam. Oleh itu, umat Islam wajar menyokong hukuman sebat yang dijatuhkan terhadap model sambilan yang didapati bersalah minum arak sebagai pengajaran.

Tiada ulasan: