HALAMAN SANTAI

Jumaat, 3 Julai 2009

Terpedaya mulut manis OKU, wanita dicabul

Oleh Hamid Salleh


KUALA TERENGGANU: Terpedaya dengan mulut manis seorang lelaki orang kurang upaya (OKU) mengenai kehebatan ilmu yang dimilikinya, seorang wanita menjadi mangsa cabul lelaki berkenaan ketika berada di tempat kerjanya di Bukit Payong, Marang, Ahad lalu.

Dalam kejadian kira-kira jam 5.30 petang itu, mangsa, seorang wanita berusia 23 tahun dari Taman Perumahan Desa Salam, Kampung Padang Limau Nipis, Marang, berseorangan di tempat kerjanya di sebuah kedai pakaian.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Superintendan K Manoharan, berkata ketika sedang bertugas berseorangan, seorang lelaki OKU dalam lingkungan usia awal 50-an datang ke kedai tempat mangsa bekerja.

Beliau berkata, suspek yang cacat pada tangan kiri, mata juling dan kaki tempang datang meminta derma daripada mangsa dengan menunjukkan kad kebajikan yang dimilikinya.

Katanya, mangsa menyerahkan RM5 kepada suspek yang kemudian mengajaknya duduk di sebelah untuk berbual-bual seketika di kedai itu.

Manoharan berkata, ketika berbual-bual, suspek menceritakan kepada mangsa kononnya dia mempunyai kelebihan tertentu, termasuk berupaya untuk menjampi ibu duit.

Suspek kemudian, katanya, meletakkan wang syiling 10 sen ke tangan mangsa dan memintanya memasukkan ke dalam mulut kerana duit itu kononnya boleh dijadikan ibu duit yang akan membolehkan pemiliknya menjadi kaya.

“Tiba-tiba, suspek memegang pangkal paha mangsa berhampiran kemaluannya dan mangsa yang terkejut dengan tindakan itu bangun berdiri sambil menolak tangan suspek. Tidak cukup dengan tindakan keji itu, suspek kemudian memegang punggung mangsa dan memujuknya duduk semula di sebelah untuk terus berbual.

“Suspek kemudian menyatakan hasrat untuk menjadikan mangsa sebagai adik angkatnya dan mangsa yang ketakutan menyatakan persetujuan dan meminta suspek keluar dari kedai berkenaan.

“Bagaimanapun, selang beberapa minit kemudian, suspek masuk semula ke kedai dan menghampiri mangsa dan kemudian memegang perut mangsa sambil menyatakan yang mangsa akan mendapat anak kembar suatu hari nanti,” katanya.

Manoharan berkata, berikutan kejadian itu mangsa membuat laporan polis pada kira-kira jam 12.15 tengah hari di Balai Polis Bukit Payong, Marang, pada Isnin lalu.

Sehubungan itu, katanya, polis meminta orang ramai yang mengenali suspek terbabit supaya segera menyalurkan maklumat ke balai polis berhampiran.

Tiada ulasan: