BERITA HARIAN ONLINE
KUALA LUMPUR: Kerajaan akan mengumumkan senarai 20 barangan kawalan menjelang Aidilfitri ini sebagai langkah membendung kenaikan harga bahan makanan serta mengurangkan beban pengguna pada musim perayaan.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata orang ramai tidak perlu bimbang dengan isu kenaikan harga barangan keperluan kerana senarai berkenaan akan diumumkan dua minggu sebelum Aidilfitri.
Katanya, kerajaan kini mengawal tiga makanan ruji iaitu gula, gandum serta roti putih dan sempena musim perayaan senarai barangan kawalan ditambah bagi mengelak peniaga menaikkan harga sewenang-wenangnya.
“Kami memberi jaminan bekalan barangan kawalan untuk musim perayaan sentiasa mencukupi dan harganya tidak dinaikkan sesuka hati.
“Antara barangan keperluan yang akan masukkan dalam senarai barangan kawalan termasuk beras, minyak masak dan beras pulut,” katanya pada sidang media selepas melancarkan Francais Antarabangsa Malaysia (FIM 2009) ke-16, di sini, semalam.
Ismail Sabri berkata, kementerian juga akan menggerakkan penguat kuasanya secara agresif bagi mengesan dan mengambil tindakan terhadap peniaga yang menaikkan harga barangan kawalan.
Sementara itu, beliau turut memberi jaminan bekalan gula mencukupi menjelang Ramadan dan Aidilfitri, serta tiada berlakunya kenaikan harga barang keperluan itu sehingga akhir tahun ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan