HALAMAN SANTAI

Sabtu, 1 Ogos 2009

Polis kaji guna ISA tahan penganjur, peserta GMI

Oleh Ifwan Tun Tuah, Khairul Azran Hussin dan S Anand Kumar


KUALA LUMPUR: Polis sedia menggunakan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) terhadap penganjur dan peserta perhimpunan haram menyokong dan menentang akta itu yang dirancang di beberapa lokasi di sekitar ibu negara hari ini.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan, bagaimanapun berkata pihaknya akan mengkaji kemungkinan itu terlebih dulu berdasarkan kesesuaian dan keperluan membabitkan keselamatan serta ketenteraman awam.

“Kita akan pantau tindakan mereka dulu dan kaji untuk guna ISA,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Gabungan Mansuhkan ISA (GMI) dan Majlis Gabungan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Pembela Negara (Magaran) sehingga semalam tetap dengan keputusan mereka untuk mengadakan perhimpunan bagi membantah dan menyokong ISA, hari ini.

Musa berkata, selain ISA, polis juga mempunyai kuasa untuk mengambil tindakan mengikut peruntukan undang-undang sedia ada membabitkan perhimpunan haram dan sebarang perkara yang boleh menggugat ketenteraman awam.

“Kita sudah berulang kali memberi peringatan dan nasihat, malah menteri (Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein) turut mengeluarkan kenyataannya berhubung perkara ini.

“Perhimpunan itu sesuatu yang sia-sia dan boleh menjejaskan keselamatan dan ketenteraman awam kerana kerajaan sudah memberi jaminan akan mengkaji ISA. Jadi apa lagi yang hendak dituntut melalui perhimpunan haram itu,” katanya.

Dalam pada itu, Musa berkata, polis sudah memulakan sekatan jalan raya di beberapa jalan menuju ke bandar raya bagi menyekat penyokong kedua-dua kumpulan daripada meneruskan hasrat menyertai perhimpunan berkenaan.

Katanya, sekatan jalan itu mula dibuat sejak jam 8 pagi semalam di beberapa jalan masuk ke ibu negara termasuk Jalan Tun Razak, Jalan Loke Yew, Jalan Travers dan Lebuhraya Kuala Lumpur-Kajang berhampiran Taman Connought.

“Sekatan itu akan dihentikan jika keadaan dijamin selamat. Anggota polis yang bertugas akan memeriksa setiap kenderaan yang masuk (ke ibu negara).

“Kita berharap pengguna jalan raya dapat bersabar dan memberi kerjasama kepada polis bagi melancarkan tugas mereka," katanya.

Tiada ulasan: