BERNAMA
KUANTAN: Pelaksanaan hukum sebat terhadap Kartika Sari Dewi Shukarno yang mengaku bersalah meminum arak, akan dilakukan selepas perbincangan antara tiga pihak.
Menurut sumber mahkamah syarie, keputusan membabitkan tarikh sebatan, tempat dan kaedah pelaksanaannya yang akan diputuskan oleh Ketua Pendakwaraya Syarie, Ketua Pendaftar Syarie dan pihak penjara.
"Keputusan akan dibuat selepas perbincangan itu yang akan diadakan selepas Aidilfitri ini," katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.
Pada 20 Julai lalu, Kartika Sari Dewi, 32, dijatuhi hukuman denda RM5,000 dan enam sebatan oleh Mahkamah Tinggi Syariah di sini selepas mengaku salah meminum arak di sebuah hotel di Cherating pada 11 Julai tahun lalu.
Dia didakwa mengikut Seksyen 136 Enakmen Pentadbiran Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang yang membawa hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya dan disebat tidak melebihi enam sebatan.
Bagaimanapun hukuman itu ditangguhkan bagi menghormati bulan puasa.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan