UTUSAN ONLINE
KUALA LUMPUR - Malaysia bersedia memperuntukkan kira-kira 405 hektar tanah di Sungkai, Perak sebagai pusat pembangunan Majlis Industri Pertahanan dan Keselamatan ASEAN.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, kawasan itu bakal berfungsi sebagai pusat perkembangan idea, sains dan teknologi di antara angkatan tentera, ahli akademik serta penggiat industri pertahanan di rantau ini.
Beliau berkata, ia juga bakal menempatkan institusi-institusi pembelajaran, pusat pembangunan dan penyelidikan (R&D), kilang serta pejabat operasi para penggiat industri terbabit.
''Ini penting supaya satu hari nanti negara-negara ASEAN yang mempunyai kapasiti penduduk seramai 500 juta orang dapat berintegrasi mengeluarkan peralatan dan teknologi ketenteraan bersama serta tidak bergantung kepada luar.
''Jadi, rantau ini tidak lagi akan menjadi tempat lambakan peralatan tentera usang yang dibeli dari negara-negara Eropah barat dan timur serta Amerika Syarikat," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Persidangan Teknologi Pertahanan dan Keselamatan Asia Pasifik (DTSC) 2009 di sini hari ini.
Hadir sama, Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Azizan Ariffin dan Naib Canselor Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Leftenan Jeneral Datuk Zulkifli Zainal Abidin.
Ahmad Zahid memberitahu, cadangan mewujudkan Majlis Industri Pertahanan dan Keselamatan ASEAN itu akan dikemukakannya pada Mesyuarat Menteri-menteri Pertahanan ASEAN di Bangkok bulan depan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan