Suspek digantung tugas hingga siasatan selesai
Oleh Mohd Feroz Abu Bakar
IPOH: Seorang anggota polis berpangkat Lans Korporal yang bertugas di Manjung ditahan kerana disyaki memaksa seorang remaja lelaki berusia 13 tahun melakukan seks oral ke atasnya.
Ketua Polis Perak, Datuk Zulkifli Abdullah, berkata anggota berusia 28 tahun itu ditahan selepas keluarga remaja berkenaan membuat laporan polis Rabu lalu berhubung perbuatan itu yang berlaku 6 November lalu.
Namun, beliau enggan menyatakan lokasi kejadian berkenaan.
"Suspek ditahan tetapi sudah dibebaskan dengan jaminan polis dan digantung tugas hingga siasatan selesai," katanya kepada pemberita selepas perhimpunan bulanan Ibu Pejabat Kontinjen Polis Perak di sini, semalam.
Zulkifli berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan kerana mengadakan hubungan seks di luar tabii.
Katanya, jika disabitkan kesalahan, suspek boleh dihukum penjara tidak kurang lima tahun dengan jumlah maksimum 20 tahun.
"Kita cuba berlaku adil dan polis akan menjalankan siasatan rapi," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan