HALAMAN SANTAI

Ahad, 22 November 2009

Ayam serama warisan negara

Oleh Hazirah Che Sab


KUALA LUMPUR: Kerajaan menimbang mewartakan ayam serama sebagai warisan negara dan ikon Malaysia kerana dilihat berpotensi menembusi pasaran antarabangsa bukan hanya sebagai unggas peliharaan, tetapi hidangan eksotik yang berkhasiat.

Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Hassan Malek, berkata kerajaan sentiasa memberi sokongan kepada usaha seumpama itu dan kementerian sendiri turut mempunyai banyak agensi yang memantau industri berpotensi untuk berkembang.

Katanya, bagi memastikan industri ayam serama lebih maju, lebih banyak promosi perlu dijalankan untuk memberi maklumat kepada orang ramai mengenai ayam serama daripada aspek asal usul, cara penjagaan, pemakanan dan sebagainya.

“Industri ini mempunyai tempat di Malaysia. Apa yang diperlukan ialah kerja keras dan promosi berpanjangan,” katanya berucap merasmikan cawangan pertama Kedai Ayam Serama Malaysia di sini, semalam. Pembukaan cawangan itu diuruskan oleh Serama Corporation Sdn Bhd (Serama Corporation).

Beliau turut menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman antara Serama Corporation dengan wakil syarikat China, Guang Zhou Dengjalu International Co Ltd, Dr Liu Ping, bagi mengeksport ayam serama Malaysia ke negara itu bagi tujuan kesihatan.

Pengarah Urusan Serama Corporation, Ahmad Fauzi Mohd Ali, berkata pelbagai program sudah dirancang syarikatnya untuk memelihara ayam serama Malaysia dengan baik bukan dari aspek penjagaan dan pemakanan tetapi juga identiti sebagai satu-satunya berasal dari Malaysia.

Katanya, identiti Malaysia yang selama ini dicari berada di depan mata dan ia patut dipelihara.

“Kedai Serama Malaysia ini adalah cawangan pertama unggas itu di Malaysia dan di dunia serta menjadi pusat sehenti penjualan ayam serama hidup, penetasan, pengawetan, makanan, perubatan dan aksesori,” katanya.

Beliau berkata, Malaysia bakal mempunyai satu lagi destinasi pelancongan terutama di kalangan peminat ayam apabila Taman Ayam Dunia yang kini sedang dalam pembinaan, dijangka mula beroperasi hujung tahun depan.

Taman di atas tapak seluas empat hektar di Ayer Keroh, Melaka itu turut menempatkan ladang ayam di kawasan seluas 1.6 hektar manakala selebihnya didirikan taman rekreasi yang menempatkan bentuk reban dan jenis ayam dari seluruh dunia.

Tiada ulasan: