HALAMAN SANTAI

Isnin, 2 November 2009

Beberapa Kaedah Nilai KPI Perdana Menteri

Oleh A Kadir Jasin


BEBERAPA orang pembahas mengingatkan saya dari semasa ke semasa bahawa waktu untuk “mengKPIkan” Perdana Menteri Mohd Najib Abdul Razak dan Kabinetnya sudah semakin dekat.Mereka mengingatkan saya yang saya pernah menyatakan yang saya akan menilai KPI Perdana Menteri pada bulan ini (November). Mohd Najib mengangkat sumpah jawatan PM pada 3 April. Jadi dia sudah jadi PM tujuh bulan.

Bagaimanapun, saya berkata kita akan beri markah kepada beliau bulan ini kerana dia berjanji akan buat penilaian pertama ke atas KPI menterinya selepas enam bulan KPI dilancarkan.

Sebenarnya, sebagai PM setiap hari dan setiap waktu dia diKPIkan. Sebagai ketua nombor, tidak ada perayaan 100 hari, setengah tahun atau setahun. Setiap hari sama penting dengan hari yang berlalu dan akan datang.

Oleh sebab majoriti rakyat jelata, khasnya pengundi, tidak akan faham secukupnya mengenai aspek teknikal KPI, maka saya rasa kaedah paling asas yang akan mereka lalukan ialah dengan mengukur sama ada kehidupan mereka lebih baik atau lebih buruk di bawah kepemimpinan Mohd Najib.

Mohd Najib sendiri meletakkan beberapa prasyarat sebagai tapak pentadbiran beliau. Yang paling utama adalah konsep Satu Malaysia di mana rakyat didahulukan dan pencapaian diutamakan.

Jadi rakyat jelata boleh memulakan proses mengKPIkan PM dengan bertanya soalan-soalan seperti berikut. Saya katakan “seperti” kerana ada banyak lagi soalan yang boleh ditanya mengikut pengalaman dan aspirasi setiap individu:-

1. Adakah mereka berasa Malaysia lebih berSATU sekarang daripada sebelum Mohd Najib memperkenalkan 1Malaysia?

2. Adakah mereka berasa mereka didahulukan oleh PM dan jentera pentadbiran beliau? dan

3. Adakah mereka berasa kebajikan mereka semakin baik kerana pencapaian jentera pentadbiran semakin meningkat?

Kalau soalan-soalan di atas masih kabur, abstrak atau konseptual, rakyat jelata boleh bertanya (dan menjawab) soalan-soalan yang lebih faktual seperti:-

I. Adakah mereka berasa lebih mesra atau kurang mesra dengan sesama rakyat jelata yang berlainan agama dan bangsa?

II. Adakah mereka berasa lebih selamat dan terhindar daripada menjadi mangsa jenayah?

III. Adakah mereka menjadi lebih senang atau susah akibat pergerakan harga barangan dan perkhidmatan?

IV. Adakah pendapatan mereka meningkat atau berkurangan?

V. Adakah lebih mudah atau lebih susah untuk mendapat pekerjaan?

VI. Adakah lebih mudah atau lebih susah mendapatkan tempat di IPT serta bantuan kewangan untuk anak-anak?

VII. Adakah lebih mudah atau susah mendapat lesen perniagaan, bantuan modal daripada agensi awam dan sistem perbankan serta bayaran daripada kerajaan? dan

VIII. Adalah persekitaran mereka lebih bersih atau lebih kotor daripada sebelum Mohd Najib menjadi PM?

Bagi Mohd Najib pula, peluang terbaik mengotakan apa yang dikata ialah dengan mengambil tindakan dan menghukum secara terbuka (supaya semua orang nampak) si penipu dan si pemalas yang mempersendakan perakaunan awan seperti yang didedahkan baru-baru ini oleh Ketua Audit Negara dalam laporan tahunannya.

Saya sendiri sudah bosan dengan janji manis dan sikap sambil lewa pemerintah terhadap pendedahan Ketua Audit Negara tahun demi tahun.

Bagi kita rakyat jelata, inilah peluang dan cara paling mudah mengKPIkan PM kerana dia sendiri sudah berjanji secara terang dan terbuka yang dia akan bertindak tegas terhadap laporan itu.

Kita lihat berapa cepat, berapa orang dan berapa tegas hukuman yang akan dikenakan ke atas penipu dan pemalas yang didedahkan oleh Ketua Audit Negara itu.

Ini bukan setakat soal rakyat didahulukan dan pencapaian diutamakan. Tetapi ini soal duit cukai dan hasil yang kita bayar kepada kerajaan.

Kalau pegawai kerajaan yang korup “songlap” duit kita, mereka wajib dihukum. Kalau PM enggan hukum mereka kerana takut disabotaj atau hilang undi, kita sebagai pembayar cukai dan pengundi akan hukum beliau apabila masanya sampai.

Inilah kontrak demokrasi. Rakyat pilih pemimpin. Rakyat bayar cukai dan tanggung hutang untuk bayar gaji pemimpin.

Tugas pemimpin buat kebaikan. Bila dia buat kebaikan, dia tidak perlu disanjung, dipuji dan diberi bermacam anugerah. Itu kewajipan dia.

Tetapi kalau dia buat kesilapan – dia songlap kita -- kita wajib ingatkan dia sebab kita tidak pilih dan bayar gaji dia untuk buat keburukan.

Ingat, kita pilih (undi) pemimpin. Kita tak undi dan tak pilih laki atau bini, anak atau menantu, suku sakat atau sahabat mereka.

http://kadirjasin.blogspot.com/

Tiada ulasan: