UTUSAN ONLINE
MEKAH - Seorang hakim sebuah mahkamah di sini menasihatkan jemaah haji tidak menggunakan pencuci tangan yang bercampur haruman ketika dalam ihram haji atas alasan perbuatan itu melanggar peraturan berihram.
Hakim tersebut, Sheikh Ahmad Hamad Al-Mazroua sebaliknya mengesyorkan para jemaah memakai pencuci tangan tanpa haruman wangi.
''Banyak pencuci tangan tanpa haruman yang boleh digunakan oleh jemaah dengan selamat," katanya seperti dipetik oleh akhbar Arab News, semalam.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai penggunaan meluas pencuci tangan atau gel pencuci berbau wangi yang meluas digunakan oleh jemaah haji di tanah suci dalam usaha mengelak wabak selesema babi atau Influenza A (H1N1).
Sheikh Ahmad berkata, jemaah perlu berhati-hati dengan jenis pencuci tangan yang mereka gunakan agar ibadat haji mereka tidak terjejas.
Akhbar itu melaporkan bahawa permintaan tinggi terhadap pencuci tangan dan penutup mulut serta hidung meningkatkan harganya antara 50 hingga 100 peratus menjelang musim haji ini dan banyak farmasi di sini kehabisan bahan tersebut.
Mengikut amalan, seseorang jemaah yang sudah memakai pakaian ihram dan berniat sama ada mahu melakukan umrah atau haji, mereka tidak boleh lagi memakai wangi-wangian dan pemakaian pewangi seperti minyak wangi hanya dibolehkan sebelum berniat ihram.
Sementara itu, guru agama Tabung Haji, Drs. Sapawi Che Mat ketika diminta mengulas perkara itu menjelaskan bahawa penggunaan pencuci tangan berbau wangi diharuskan dalam Islam dan tidak menjejaskan ibadat haji seseorang jemaah.
Sapawi berkata, beliau menghormati pandangan hakim tersebut tetapi pada masa yang sama penggunaan pencuci seperti sabun berbau wangi diharuskan dalam Islam seperti pendapat banyak ulama di Malaysia.
''Lagi pula orang membeli sabun atau sesuatu bahan pencuci biasanya untuk mencuci dan bukan bersandarkan kepada wangian yang terdapat pada bahan tersebut," katanya yang juga pendakwah bebas kepada pasukan media Tabung Haji di sini, hari ini. -
Tiada ulasan:
Catat Ulasan