UTUSAN ONLINE
KUALA LUMPUR - Kebiasaannya, wanita yang obses dengan keinginan untuk memiliki payu dara yang besar sanggup mengambil risiko menjalani pembedahan plastik untuk tujuan itu.
Namun, di sebalik itu, terdapat pusat kecantikan di negara ini yang menyediakan khidmat pembedahan untuk mengempiskan payu dara sehingga menjadi 'rata'.
Pembedahan sedemikian yang dipercayai menggunakan teknik menyedut tisu dan laser, disasarkan kepada golongan pengkid, wanita yang mengidamkan tubuh badan lelaki.
Ada di kalangan mereka yang telah menjalani pembedahan itu termasuk seorang yang hanya mahu dikenali sebagai Yew, 37, peniaga perabot di Cheras.
Di sebalik kepuasan yang dikecapi oleh Yew selepas pembedahan itu, dia kini dibelenggu kesakitan dan kesengsaraan gara-gara pembedahan itu yang didakwanya tidak sempurna.
Segala-galanya bermula pada April lalu apabila dia mengunjungi sebuah pusat kecantikan di Subang Jaya untuk bertanyakan mengenai pembedahan itu.
"Pemilik pusat berkenaan, telah menunjukkan gambar-gambar kejayaan pembedahan lain sebelum itu serta memberi jaminan pembedahan ini selamat kerana dikendalikan oleh seorang pakar dari Singapura. Kos pembedahan adalah RM12,000.
"Yakin dengan jaminan itu, pemilik berkenaan membawa saya ke sebuah lagi pusat perubatan di Johor Bahru untuk menjalani pembedahan pada 11 Mei lalu.
"Pembedahan itu mengambil masa selama dua jam dan apabila saya sedar, bahagian yang dibedah itu sudah berbalut," katanya pada sidang akhbar di Wisma MCA di sini hari ini.
Menurut Yew, dia hanya sedar sesuatu yang tidak kena apabila balutan itu dibuka seminggu kemudian.
Ketika itu, dia terkejut menyedari kedua-dua puting buah dadanya telah dipotong doktor tanpa persetujuannya.
"Sebelum pembedahan, doktor tidak memaklumkan kepada saya bahawa puting saya akan dipotong.
"Disebabkan itu, saya terpaksa menanggung kesakitan teramat sangat kerana bahagian tersebut telah bengkak dan bernanah.
"Doktor terbabit dan pemilik pusat rawatan berkenaan tidak dapat memberikan penjelasan munasabah berhubung apa yang terjadi kepada saya sebaliknya mereka menolak bertanggungjawab dalam kejadian itu," jelasnya.
Ekoran itu, Yew terpaksa mendapatkan rawatan susulan untuk membersihkan luka yang dialaminya di klinik lain.
Pada masa yang sama, dia turut ditegur oleh doktor bahawa pembedahan yang dijalaninya itu berisiko tinggi dan boleh meragut nyawanya.
Buntu dengan kejadian yang menimpanya, Yew membuat laporan di Balai Polis USJ 8, Subang Jaya serta aduan kepada Jabatan Pengaduan dan Perkhidmatan Awam MCA.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan