SINAR HARIAN ONLINE
KUANTAN - Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar akan memperuntukkan RM30,000 kepada setiap kawasan Parlimen bagi melaksanakan program Rakan Alam Sekitar (RAS) di kawasan masing-masing.
Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Tan Sri Joseph Kurup berkata, peruntukan berjumlah RM4 juta itu bagi memastikan RAS dapat dijalankan dengan berkesan dan mencapai matlamat yang disasarkan.
“RAS akan diteruskan setiap tahun walaupun pada masa kini ia adalah konsep baru yang di laksanakan kementerian. Ia juga masih di peringkat mengurus untuk melaksanakan dasar secara menyeluruh.
“Program diilhamkan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Douglas Uggah Embas dilaksanakan berlandaskan unsur-unsur pemantauan, pelaksanaan dan maklumabalas demi memulihara alam sekitar dari terus tercemar,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sidang media bersama pemberita selepas merasmikan Majlis Pelancaran RAS Peringkat Parlimen Paya Besar di Felda Sungai Panching Selatan, di sini, semalam.
Joseph berkata, penggunaan talian ’hotline’ seperti mana Rakan Cop juga sedang dalam perancangan bagi memastikan pelaksanaan RAS berjaya mencapai sasaran secara optimum.
Menurutnya, kementerian giat berusaha untuk mendapatkan penglibatan masyarakat menjayakan program itu sekali gus menjadi mata dan telinga bagi menyalurkan sebarang kes pencemaran alam sekitar.
“Walaupun ia baru dilancarkan Jun lalu, kami ada menerima aduan mengenai pencemaran dan ia jelas menunjukkan RAS mempunyai impak yang berkesan dan wajar dikembangkan.
“Talian ’hotline’ juga sedang dalam perancangan kerana ia dianggap platform terbaik kepada masyarakat menyalurkan sebarang bentuk masalah pencemaran,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan