Oleh WAN NORDIN WAN YAACOB
KUALA LUMPUR : Mutakhir ini media arus perdana memutarbelitkan isu 'Bai'ah' hingga menyebabkan beberapa ahli Parlimen dalam Pakatan Rakyat 'bertegang lidah' sesama sendiri melahirkan pandangan yang berbeza.Walaupun 'kelainan pandangan' ini diraikan dengan baik dalam Pakatan Rakyat, namun apabila ia sampai kepada pengetahuan media, dan media melaporkannya, isu tersebut menjadi semakin panas.
Mengulas perkembangan itu, Naib Presiden PAS, Dato' Mahfuz Omar menyatakan bahawa kemelut yang berlaku sebenarnya menunjukkan Pakatan Rakyat mengamalkan demokrasi yang sangat terbuka.
Semua pihak boleh bercakap atau mengeluarkan pandangan yang berbeza, namun ujarnya beliau sendiri menasihatkan agar mana-mana pihak yang berbeza pandangan perlu mengeluarkan pandangan dengan saluran yang sesuai iaitu dalam parti.
Jika perbezaan tersebut antara parti-parti dalam pakatan, ia boleh diselesaikan dengan cara pertemuan, perbincangan atau 'santai' ketika bertemu di Parlimen, ujar Mahfuz yang ditemui di Parlimen 12 November lalu.
Sementara itu, ahli Parlimen Machang, Saifuddin Nasution pula menyatakan Pakatan Rakyat telah menyediakan ruang-ruang yang secukupnya untuk ahli melahirkan perbezaan pandangan.
Namun diakui seringkali berlaku perbezaan pandangan itu dizahirkan kepada media-media yang akhirnya akan dimanipulasi oleh media pro-Umno yang pastinya mahu mencari keuntungan diatas laporan yang dibuat, katanya.
"Majlis Presiden telah setujui apa-apa sahaja perbezaan pandangan boleh diselesaikan dalam ruang-ruang yang disediakan dalam parti atau antara parti, perbincangan adalah jalan terbaik dan bukannya dengan pergi ke media.
"Kita tidak salahkan wartawan kerana itulah kerja mereka, tetapi seperti yang saya sebutkan tadi, kita ada ruang yang telah kita sediakan untuk melahirkan pandangan yang pelbagai," katanya.
Menyentuh isu 'Bai'ah', Saifuddin yang juga Pengarah Pilihan Raya KeADILan Pusat berkata, isu itu sengaja dimainkan media dalam mengeruhkan hubungan antara pakatan.
Walhal, mereka (media dan Umno) tidak mengerti apa yang terkandung dalam perkara 'bai'ah' ini, katanya lagi.
Mengulas isu yang sama, Ustaz Mohd Nasir Zakaria (PAS Padang Terap) menggangap perbalahan di media antara pimpinan sebagai hal yang tidak menguntungkan parti.
Sebaliknya ia hanya akan memberi tanggapan negatif kepada parti, ujarnya lagi.
"Walaupun kita bebas melahirkan pandangan, namun kita diajar dengan adap-adap dalam jemaah, apa yang seharusnya kita lakukan ialah menuruti ruang yang telah disediakan oleh jemaah,
"Jika masalah itu membabitkan dalaman satu parti, ia perlu diselesaikan oleh parti berkenaan, itu yang kita setujui," katanya lagi.
Sementara itu, Ustaz Firdaus Jaafar (PAS Jerai) pula menasihatkan agar ahli Parlimen Kulim Bandar Baharu, Zulkifli Noordin agar tidak terlalu mencampuri urusan dalaman PAS.
Mengenai isu bai'ah' kata Ustaz Firadus, seharusnya Zulkifli tidak memberi sebarang komen kerana ia urusan dalam PAS dan hanya mereka yang terbabit sahaja yang faham dengan persoalan ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan