BERNAMA
Kerajaan tidak berhasrat menarik balik keputusan mengharamkan syarikat rokok daripada menaja aktiviti sukan terutamanya sukan bola sepak.
Timbalan Menteri Belia dan Sukan Datuk Razali Ibrahim berkata ini berikutan komitmen Malaysia dalam menyokong Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) melaksanakan undang-undang global kawalan tembakau melalui Konvensyen Rangka Kerja Mengenai Kawalan Tembakau (FCTC).
Beliau berkata, Malaysia telah menandatangani perjanjian FCTC pada 23 Sept 2003 dan menjadi perwakilan pada 16 Sept 2005 dan selaras dengan peruntukan di dalam FCTC, negara juga telah mewujudkan undang-undang domestik iaitu Peraturan-peraturan Kawalan Hasil Tembakau (PPKHT) pindaan 2004 yang berkuatkuasa 14 Ogos 2004.
"Namun begitu, kelonggaran untuk sukan bola sepak hingga akhir tahun 2004 serta kelonggaran bagi sukan bermotor F1 dikuatkuasakan sehingga awal tahun 2006.
"Ia bertujuan untuk memberi peluang kepada pihak-pihak terbabit mencari penajaan selain syarikat rokok bagi memastikan perancangan tidak terjejas.
"Justeru itu, kerajaan tidak berhasrat untuk menarik balik keputusan pengharaman penglibatan syarikat rokok sebagai penaja aktiviti sukan di negara ini," katanya ketika menjawab soalan Datuk Abd Rahman Dahlan (BN-Kota Belud) pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.
Abdul Rahman ingin tahu apakah kerajaan akan menarik balik keputusan mengharamkan syarikat rokok daripada menaja aktiviti sukan terutama sukan bola sepak kerana orang ramai mengetahui prestasi pasukan negara telah jatuh dengan begitu teruk sekali kerana kekurangan dana penajaan.
Sebelum itu, Razali berkata mengambil sukan bola sepak sebagai kayu pengukur untuk mengatakan bahawa pencapaian sukan negara jatuh dengan begitu teruk sekali adalah tidak adil kerana Malaysia telah mampu melahirkan atlet-atlet bertaraf dunia.
"Untuk pengetahuan ahli-ahli Yang Berhormat, hari ini negara mempunyai sembilan jenis sukan di mana atlet-atlet kita berada dalam ranking 10 terbaik dunia.
"Kejayaan ini turut bergantung kepada penglibatan semua termasuk program pembangunan di peringkat negeri, pengurusan, kejurulatihan dan pendidikan profesionalisme di kalangan pemain itu sendiri," kata beliau.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan