AGENDA DAILY
Kisah masih berkisar tentang bekas Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin. Namun ia tiada kaitan dengan penahanan beliau oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS). Sebaliknya isu memorandum yang dikatakan dihantar ke bawah Yang di-Pertuan Agong membantah cadangan melantik beliau sebagai Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM).
Bertempat di sebuah rumah di Taman Tun Dr Ismail, Dr Asri Ahad malam sebelum beliau ditahan di Taman Seri Ukay Hulu Kelang, telah memberikan sidang media bagi menjawab memorandum yang dihantar oleh Persatuan peguam Syarie berhubung dengan bantahan cadangan perlantikan beliau sebagai Yang Dipertua YADIM.
Dalam sidang medianya itu beliau mempersoalkan motif memorandum tersebut dihantar kerana menurutnya tuduhan yang dibuat tidak berlandsakan kepada lunas-lunas ilmu.
“Sejak jawatan itu ditawarkan maka ada beberapa pihak yang barangkali tidak selesa dan itu bagi saya tidak mengapa kerana menghormati kebebasan memberikan pandangan.
“Cumanya tuduhan ini sangat besar dan berat membabitkan soal maruah, membabitkan soal keilmuan dan boleh menyebabkan perpecahan umat,” katanya sambil menambah beliau ditawarkan jawatan Yang Dipertua YADIM oleh Perdana Menteri baru-baru ini.
Menurutnya beliau ada mendengar mengenai memorandum tersebut baru-baru ini tetapi hanya mengetahui isi kandungannya apabila membacanya seperti yang disiarkan melalui laman web Persatuan Peguam Syarie Malaysia.
Menghuraikan lebih lanjut, Dr Asri berkata, adalah menjadi hak Persatuan Peguam Syarie Malaysia untuk menghantar memorandum yang dikatakan disokong oleh beberapa pertubuhan bukan kerajaan yang bernaung di bawah YADIM. Yang Dipertua YADIM sekarang ialah Datuk Nakhaie Ahmad yang sepatutnya telah tamat tempoh jawatannya.
Antara tuduhan yang dimuatkan dalam memorandum tersebut adalah Dr Asri dikatakan tidak beriktikad dengan ahli sunnah wal jamaah dan keluar daripada mahzab-mazhab yang empat (Syafie, Hanafi, Hambali dan maliki) dan menolak hadis Bukhari.
Selain itu, Dr Asri juga dituduh mencerca imam Ghazali dan Imam Nawawi serta menghina amalan soalt hajat.
“Ini perkara besar kerana walaupun dia kata NGO lain sokong tapi memorandum ini hanya tandatangan oleh seorang peguam iaitu Presiden Persatuan Syarie Malaysia.
“Saya minta dia buktikan sama ada tulisan atau ucapan saya yang menunjukkan tuduhan di mana saya cerca imam dan cerca solat hajat,” tegasnya sambil menyatakan beliau memberikan tempoh seminggu kepada pihak terbabit untuk membuktikan tuduhan mereka.
Dr Asri mengakui memang ada beberapa pandangan beliau berbeza dengan pandangan beberapa pihak lain termasuk dengan Majlis Fatwa.
Namun katanya, dalam isu terbaru yang dibincangkan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan mengenai penggunaan inai bercorak di tangan, beliau memang tidak setuju Majlis Fatwa bertemu bagi membincangkan isu-isu kecil kerana banyak lagi isu besar negara yang perlu dibahaskan.
Sehubungan itu, beliau ingin tahu apakah pandangan ekstrem beliau sehingga membawa kepada pihak berkenaan menghantar memorandum tersebut kepada Yang Di-Pertuan Agong.
“Saya rasa saya tahu siapa di belakang memorandum ini tapi saya tidak sebut namanya nanti jadi tuduhan. Cuma saya nak tanya kepada Yang Dipertua YADIM sekarang Datuk Nakhaie Ahmad, saya tidak kata dia di belakang memorandum ini tapi saya nak tanya beliau kerana dalam ini (memorandum) disebut...Dr Asri bukan sahaja ditolak oleh majoriti ahli UMNO malah beliau juga tidak senangi oleh ahli PAS.
“Saya nak tanya apakah Yang Dipertua YADIM (Nakhie Ahmad) sekarang diterima oleh penyokong PAS. Beliau adalah bekas Naib Yang Dipertua PAS yang meninggalkan PAS dan beliau saya tahu tidak boleh berceramah dalam banyak tempat di negeri Kedah, di Kelantan. Beliau juga kalah dalam bertanding di Baling pada pemilihan UMNO.
“Kalau itulah kriteria untuk menjadi Yang Dipertua YADIM, beliau juga tidak boleh jadi selama ini. Saya tidak kata saya nak terima jawatan itu saya dah buat keputusan, tidak perlu. Tapi ini adalah memorandum yang begitu sentimen membabitkan kelompok agama negara ini yang menuduh orang tanpa lunas-lunas ilmu” ujar beliau.
Di akhir sidang medianya, Dr Asri turut membuat cadangan kepada Ketua Audit Negara supaya melakukan audit kepada YADIM kerana apabila timbul cadangan beliau menjadi Yang Dipertua YADIM, beliau ada membuat semakan beberapa perkara dan mungkin semakan beliau ada yang salah.
“Ini perkara yang patut dibuat kerana kita akan temui banyak perkara,” jelasnya. –
Tiada ulasan:
Catat Ulasan