Oleh Roziyah Mahamad
KUALA LUMPUR : Penguatkuasaan peraturan mewajibkan penggunaan Kotak Ikan Berinsulasi Bergred Makanan (KIBFG) mulai 1 Mac ini bakal menyebabkan kenaikan harga ikan dan makanan laut lain secara mendadak serta bekalan yang merosot di pasaran.
Pengerusi Jawatankuasa Pengimport/Pemborong Ikan dan Sumber Laut Malaysia Datuk Yusoff Ismail berkata senario itu tidak dapat dielak sekiranya penguatkuasaan peraturan berkenaan diteruskan.
"Apa yang kita takuti, nasib rakyat yang merupakan pengguna akan menjadi taruhan kerana dengan peningkatan kos operasi sudah tentu harga ikan melambung tinggi di pasaran sekali gus membebankan mereka," katanya pada sidang akhbar di pejabat Persatuan Pengimport dan Pemborong Ikan Perak.
Yusoff berkata kenaikan harga tidak dapat dielak kerana pengimport terpaksa menokok harga membeli peti KIBFG sehingga hampir RM100 sebuah berbanding sekarang.
"Misalnya harga kotak 30 kilogram yang digunakan sekarang adalah RM28 manakala KIBFG mencecah RM120. Begitu juga kotak KIBFG bagi 100 kg iaitu RM205 jauh lebih tinggi dengan harga biasa iaitu RM150," katanya.
Beliau berkata penguatkuasaan peraturan pengimportan ikan basah itu secara langsung akan mengakibatkan harga ikan melambung tinggi di pasaran.
Penguatkuasaan peraturan berkenaan yang sepatutnya dilaksana tahun lepas, ditangguh ekoran bantahan pengimport dan pemborong ikan kerana harga kotak ikan berinsulasi tinggi yang dikatakan terlalu mahal.
Yusoff berkata bagaimanapun jawatankuasa berkenaan tidak berhasrat menghentikan operasi membawa masuk bekalan ikan seperti yang pernah dilakukan Mac tahun lepas.
Mulai 1 Mac ini Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia akan mewajibkan penggunaan KIBFG yang bertujuan memastikan kualiti ikan yang dibawa masuk ke negara ini lebih selamat, bersih dan segar sejajar dengan pembaharuan dalam industri perikanan pada masa sekarang.
Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Noh Omar pada Oktober lepas berkata penguatkuasaan penggunaan KIBFG itu mengambil kira pewartaannya pada 2006 yang tertangguh disebabkan pelbagai alasan daripada pihak terlibat khususnya pemborong dan pengimport ikan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan