Oleh Norasikin Samsi
KUALA LUMPUR - Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang menggesa kerajaan Umno-Barisan Nasional menghentikan segera percaturan politik kotor yang digunakan mereka berhubung isu arak dan judi dalam kempen pilihan raya kecil Hulu Selangor.
Merujuk kepada kempen memfitnah calon Pakatan Rakyat, Datuk Zaid Ibrahim, Ahli Parlimen Ipoh Timur itu berkata, strategi serangan peribadi calon itu tidak mencerminkan persaingan yang sihat untuk memancing undi.
Beliau turut mempertikai tindakan Umno-BN yang memperbesarkan isu ini meskipun diakui Menteri Dalam Negeri sebagai palsu.
"Untuk menarik perhatian dengan mengaitkan gambar Zaid dengan botol arak dengan menggunakan teknik 'superimpose’ bukanlah satu persaingan yang sihat.
"Walaupun gambar itu diakui Menteri Dalam Negeri sebagai palsu kerana telah wujud sejak tahun lalu, tapi kenapa perkara itu masih lagi dijadikan satu isu besar.
"Ini termasuk serangan peribadi terhadap pemimpin Pakatan Rakyat melalui kain rentang dan poster sepanjang kempen di Hulu Selangor berlangsung dan DAP amat tidak bersetuju dengan cara sebegini," katanya dalam sidang media di lobi Parlimen semalam.
Kit Siang juga tidak menafikan kemungkinan wujudnya dalang yang cuba menjatuhkan pemimpin BN sendiri termasuk Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan Datuk Seri Hishammuddin Hussein apabila isu sebegini dibangkitkan.
"Dengan terdedahnya isu pengambilan arak dan judi, maka tembelang dan kisah peribadi pemimpin lain dalam BN juga turut terbongkar.
"Adakah Najib selepas ini juga akan turut mengaku atau menafikan pembabitannya dengan arak, kita tidak pasti?
"Apa yang pasti, saya percaya terdapat individu yang bertanggungjawab memanipulasikan isu ini kerana terdapat banyak kospirasi dan permainan politik kotor dalam Umno-BN," tegas beliau.
Justeru, Kit Siang mendesak agar isu ini segera dihentikan dan menggesa satu pendekatan dan peraturan yang jelas mengenai garis panduan semasa berkempen dalam pilihan raya perlu dikemukakan.
"Ini bagi menjamin agar integriti proses demokrasi di Malaysia dapat ditingkatkan dan rakyat dapat memilih calon yang benar-benar layak," kata beliau lagi.
Semalam, Kit Siang mencabar Umno dan menteri-menteri kabinet beragama Islam untuk tampil membuat pengakuan bersumpah bahawa mereka tidak pernah meminum arak khususnya zaman muda.
Sasaran utama Kit Siang adalah Ketua Pergerakan Pemuda Umno Khairy Jamaluddin, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz, Hishammuddin, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Najib.
Kit Siang membuat cabaran itu ketika membahaskan Rang Undang-undang Akta Pemberi Maklumat.
Tegasnya, jika minum alkohol dijadikan kayu pengukur bagi memilih menteri-menteri BN, ramai pemimpin berkenaan akan tersingkir.
"Jika minum pada zaman lalu menghalang seseorang daripada memegang jawatan, kita akan kehilangan separuh daripada jemaah menteri, termasuk Duta Malaysia ke Amerika Syarikat,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan