HALAMAN SANTAI

Jumaat, 23 April 2010

Blok bebas hanya satu impian

Oleh Redzuan

Banyak pihak menantikan pembukaan sidang Dewan Rakyat penggal ke-12 pada 15 Mac lalu dengan penuh debaran. Memang tiada apa yang istimewa bakal dibentangkan pemerintah. Namun bagi pemerhati politik satu perkara yang membuat mereka teruja ialah duga sangka apakah akan wujud blok bebas di Parlimen selepas empat Ahli Parlimen (AP) PKR meninggalkan parti sepanjang Februari dan Mac 2010.

Walau bagaimanapun debaran penubuhan blok bebas yang mungkin diketuai oleh Ibrahim Ali itu meleset sama sekali. AP Bayan Baru, Zahrin Hashim yang memilih untuk menyerang media alternatif Malaysiakini dan Malaysia Today kononnya diupah pembangkang untuk membunuh karektor pemimpin BN pula telah menukarkan sesi berbahas itu menjadi pentas lawak jenaka.

Apa salahnya media alternatif membunuh karektor pemimpin BN demi kebebasan media. Sedangkan Utusan, RTM dan pelbagai media arus perdana tidak pernah berehat membunuh karektor Anwar dan mengecapnya sebagai peliwat atau pengkhianat negara.

AP bebas melalut

Zahrain mendedahkan juga siapakah AP BN yang dipujuk Anwar untuk menyertai kerajaan PR dalam projek 16 September 2008. Sehari selepas itu, Menteri Dalam Negeri Hishamuddin Husein dan Dr Rais Yatim meminta pihak polis atau jawatankuasa disiplin parlimen menyiasat dakwaan berkenaan.

Tidak sedarkah mereka di negara Eropah banyak kerajaan yang bertukar dalam masa beberapa hari berikutan penarikan sokongan dari parti kecil atau AP Bebas. Ia salah satu amalan demokrasi. Tidak ada apa yang salah mengenainya dan tidak perlulah polis atau parlimen membuang masa menyiasat .

Apabila tiba giliran Zulkifli Nordin berhujah dewan jadi lebih haru-biru. Zul mendedahkan enam tahun lalu ada pihak tertentu memaksanya bersumpah menjatuhkan Najib pada ketika beliau menjadi peguam Cif Inspektor Azilah Hadri yang didakwa terlibat membunuh Altantuya Sharibuu pada 2006.

Sesiapa pun boleh terfikir daripada menawarkan Zul yang pernah menyertai PAS dan kemudian PKR sejumlah habuan lebih baiklah mereka memaksa polis itu menerima peguam Umno. Tidak mungkin Zul memaksudkan pihak yang membuat tawaran adalah pembangkang kerana mustahil wang atau kuasa boleh dijanjikan ketika itu kerana pembangkang sebelum Mac 2008 sangat lemah.

Contohi Guan Eng

Dalam hal ini, Ketua Menteri Pulau Pinang lim Guan Eng lebih jujur dan tidak merapu kerana beliau berani menjelaskan percubaan Zahrain mengurniakan tender dari sebuah kelab golf kepada syarikat bernilai RM2, dan itu menjadi punca perbalahan Zahrain dan Guan Eng. Zahrin mengugut akan menyaman Guan Eng. Akhirnya sampai hari ini pun Zahrain tidak berani menyaman. Jika dua AP ini berprinsip berani kerana benar, ayuh lakukan seperti Guan Eng di luar Parlimen. Di dalam Parlimen anda boleh menghentam sesiapa sahaja kerana dilindungi kekebalan sebagai AP.

Malapetaka buat rakyat

Apa yang berlaku ini sebenarnya adalah malapetaka kepada rakyat Malaysia. Parlimen adalah tempat untuk membahaskan usul, membuat undang-undang dan membela nasib rakyat. Namun empat ekor katak itu menukar Dewan yang mulia menjadi tempat melancarkan serangan peribadi. Apa yang rakyat dapat dari berjam-jam mereka tegak berdiri berbahas?

Ternyata blok bebas ini ingin membalas dendam kerana mereka tersilap perkiraan. Jangkaan awal mereka lebih banyak ahli parlimen PR lain yang menyusul telah tersasar.

Pada perkiraan mereka jika ramai AP DAP dan PAS keluar maka satu blok baru akan wujud. Di mana kerajaan yang ingin mengubah perlembagaan dan memerlukan 1/3 majoriti parlimen akan melakukan tawar-menawar dengan AP Bebas.

Sayangnya itu tidak terjadi di Malaysia. Ia tidak diizinkan terjadi oleh rakyat dan tidak pula disukai terjadi oleh para ahli parlimen.

Bagi rakyat apa yang diinginkan adalah perubahan total. Dan perkara itu tidak diperpolehi pada pilihan raya ke-12 lalu. BN masih berkuasa. Skandal terbaharu projek dan tender tetap berlaku dan indeks rasuah negara menjunam ke angka 56, sedangkan ketika Anwar Ibrahim menjadi Timbalan Perdana Menteri suatu ketika dahulu indeksnya tidak pernah melepasi angka 20. Begitu juga pelaburan asing ketika itu Malaysia antara Harimau Ekonomi Asia selain Singapura, Taiwan, Hong Kong dan Kerea Selatan. Perdana Menteri United kingdom Margaret Tacher pada pertengahan 1990an pernah memuji Anwar sebagai Menteri Kewangan terbaik di dunia. Ini berikutan tindakannya membayar terdahuliu hutang kepada Bank Dunia. Dengan demikian negara berjaya menjimatkan wang membayar kadar faedah. Sekaligus mengurangkan impak kesan kegawatan matawang pada 1997/1998.

Bagi ahli Parlimen PR pula gagasan dua parti masih baru. Kebanyakan mereka masih teruja dengan perubahan yang lebih baik pada masa hadapan dan mengkesampingkan sebarang keburukan.

Sebarang usaha untuk mewujudkan blok bebas tentulah dianggap usaha yang ‘gila’ apatah lagi politik Malaysia masih tidak stabil dan parti pemerintah masih mengamalkan demokrasi terpimpin dan mengekalkan banyak peraturan zalim.

Blok bebas hanya boleh berlaklu di negara yang mana sistem politiknya telah matang dan mantap. Demokrasi benar-benar berjalan. Sistem perkhidmatan awam tidak dicampuradukkan dengan politik. Ketika itu jika kerajaan bertukar 3 kali dalam setahun pun ia hanyalah semata-mata politik dan tidak menjejaskan negara.

Tiada ulasan: