KUCHING- Usaha menyebarkan dakwah terutamanya di kalangan generasi muda Islam boleh dilakukan dengan menggunakan medium laman sosial Internet seperti Facebook. Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Hal Ehwal Islam), Datuk Daud Abdul Rahman berkata, penggunaan medium itu sesuai memandangkan ia semakin popular di kalangan generasi muda pada masa ini.
Menurutnya, kebanyakan generasi muda menggunakan Facebook untuk berkomunikasi antara satu sama lain, maka tidak menjadi kesalahan jika medium tersebut turut digunakan untuk menyebarkan dakwah.
''Jika medium Internet seperti Facebook sesuai untuk berdakwah, maka kita galakkan serta mengalu-alukannya.
''Apa yang penting adalah segala pandangan yang disampaikan betul dan tidak terpesong serta menyinggung perasaan masyarakat Islam dan bukan Islam," katanya kepada pemberita di sini semalam.
Beliau diminta mengulas mengenai kesesuaian laman sosial seperti facebook yang dijadikan sebagai medium untuk menyebarkan dakwah kepada umat Islam terutamanya generasi muda.
Daud berkata, dakwah tidak semestinya disebarkan melalui ceramah atau forum sebaliknya pelbagai cara boleh digunakan termasuk Internet.
Bagaimanapun, katanya, pendekatan dakwah yang digunakan perlu memenuhi adab agama serta tidak menyinggung perasaan mana-mana pihak.
Pada masa sama, beliau turut mengingatkan generasi muda supaya menggunakan laman Facebook dengan betul serta beretika bagi mengelakkan perkara yang tidak diingini.
''Memang tidak dinafikan terdapat pihak yang menyalahgunakan Facebook untuk menyampaikan perkara atau isu yang tidak betul dan memburuk-burukkan sesetengah pihak.
''Perkara seumpama ini antara penyebab ada di kalangan pengguna yang sanggup menghabiskan masa menggunakan Facebook sehingga melalaikan," ujarnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan