Oleh Rusnizam Mahat
KUALA LUMPUR - Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (Gamis) membantah pendirian Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Razak untuk menghantar bantuan ketenteraan ke Afghanistan selepas mengadakan pertemuan dengan Presiden Amerika, Barrack Obama.
Menurut Presidennya, Mohd Idris Mohd Yussoff, Gamis melihat tindakan tersebut dilakukan secara terburu-buru dan mengikut telunjuk kuasa besar dunia itu.
"Amerika dilihat seolah-olah terdesak mahukan Malaysia bersama terlibat setelah banyak negara menarik balik tentera pengaman mereka keluar dari Afghanistan. Malaysia seolah-olah akan menjadi mangsa keadaan di samping akan dilihat sebagai boneka Amerika dalam isu ini setelah krisis di Afghanistan masih tidak dapat diselesaikan," ujarnya ketika mengadakan sidang media di lobi parlimen Khamis lalu.
Menurutnya, Malaysia perlu mengambil berat aspek keselamatan negara serta wakil yang akan dihantar bagi tujuan itu memandangkan ancaman daripada al-Qaeda yang telah mengisytiharkan perang terhadap mana-mana negara yang bersengkongkol dengan Amerika walaupun atas alasan bantuan kemanusiaan dan latihan.
"Dalam keadaan negara-negara seperti Perancis, Kanada, Korea Selatan dan lain-lainnya menarik balik tentera pengaman di Afghanistan setelah mendapat tekanan dari masyarakat dunia yang mengutuk tindakan tersebut, tiba-tiba Perdana Menteri Malaysia telah membuat keputusan yang seolah-olah ingin menarik Malaysia untuk terlibat dalam isu yang dimulai oleh kezaliman dan kerakusan Amerika itu" tegas Mohd Idris.
Menurut Mohd Idris, jumlah askar negara luar yg maut atas alasan untuk tujuan pembangunan dan latihan termasuk antaranya Britain 270, Kanada 140, Denmark 31, Belanda 43, Perancis 41, Jerman 43, Itali 22, Romania 12, Sepannyol 17, Turki 3, Amerika Syarikat 951 dan Australia 11.
Manakala yang cedera dan cacat pula melebihi 5,000 orang askar.
Tambah beliau, mengikut kajian oleh Pew Global Attitudes, daripada 47 negara, hanya dua rakyat negara menyokong peperangan di Afghanistan iaitu Israel dan Kenya.
"Yang lain semua majoriti rakyatnya tidak menyokong penuh. Gamis yakin rakyat Malaysia juga tidak menyokong sama sekali," ujarnya.
Gamis turut mengutuk pendirian bersama Perdana Menteri Malaysia serta Presiden Amerika Syarikat di Washington dalam isu pembangunan nuklear Iran kerana Malaysia seolah-olah dilihat hanya mengangguk atas beberapa pendirian Amerika.
"Pendirian Amerika dalam isu nuklear ini dilihat tidak adil kerana seolah-olah memejam mata dalam isu yang melibatkan sekutunya termasuklah Israel. Begitu juga keadaannya isu Apco di Malaysia yang sedang hangat diperkatakan kerana bersangkut paut dengan ejen Yahudi. Perkara ini juga tiada jawapan yang jelas dari Perdana Menteri, pendirian Perdana Menteri di Washington seolah-olah menambahkan lagi barah kepada rakyat Malaysia," kata Mohd Idris.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan