HALAMAN SANTAI

Ahad, 18 April 2010

Hijrah Zaid Ke Pakatan Rakyat Tinggalkan Kejahilan, Keburukan Umno

Oleh Rusnizam Mahat


KUALA KUBU BAHARU - Umno disifatkan sudah kehabisan modal apabila membuat serangan berbentuk peribadi kepada calon Pakatan Rakyat di Hulu Selangor, Datuk Zaid Ibrahim.

Sejak diumumkan sebagai calon bagi pilihan raya tersebut, Umno semakin galak membuat serangan moral terhadap bekas menteri itu dengan melabelkan beliau sebagai kaki sosial, kaki botol dan menolak perlaksanaan undang-undang Islam.

Tanpa disedari pimpinan Umno, serangan tersebut sebenarnya hanya memakan diri dan mendedahkan pekung mereka sendiri kerana segala keburukan moral ditimbulkan berlaku ketika pemimpin itu masih berada dalam Umno dan kerajaan.

"Kenapa mereka tidak mempersoalkan moral Zaid ketika beliau masih menjadi pemimpin Umno? Penyertaan Zaid ke dalam Pakatan merupakan satu hijrah, meninggalkan perkara buruk dan menerima perkara yang baik. Saya percaya Zaid bukanlah seperti apa yang digambarkan kerana beliau sudah banyak berubah apabila menyertai Pakatan Rakyat," jelas seorang bekas pemimpin Umno yang enggan disiarkan namanya.

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang percaya Zaid sudah berubah dan tidak mengamalkan tabiat lamanya sejak beliau pulang dari tanah suci Mekah dan menyertai Pakatan Rakyat. Mengenai tindakan Zaid yang pernah menyaman kerajaan Kelantan dan Terengganu kerana mahu melaksanakan hukum hudud, Hadi berkata, perkara itu sudah pun diselesai secara baik.

“Zaid sudah tarik balik saman tersebut, jadi sekarang perkara tersebut bukan lagi menjadi isu,” katanya seperti yang dilapor Malaysianinsider.

Sementara itu, Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim berkata, Umno tidak wajar memainkan isu tersebut memandangkan umum mengetahui kebanyakan pemimpin Umno juga bukanlah jenis pemimpin yang 'bermoral'.

Apatah lagi katanya, Zaid sudah menunjukkan banyak perubahan apabila menyertai Pakatan Rakyat hampir setahun lalu.

“Ya, saya percaya Zaid telah berubah daripada tatacara, tatatertib ini. Kalau nak tengok karektor seseorang, kita kena tengok orang itu dari kecil sampai jadi menjadi seorang datuk.

“Umno tidak boleh guna isu ini sebagai bahan kempen, ramai yang tahu bahawa orang Umno pun ramai tergolong dalam hal ini (minum arak),” kata Khalid yang merupakan pengarah jentera pilihan raya kecil bagi PRK Hulu Selangor.

Khalid itu mempersoalkan apakah menjadi satu masalah bagi umat Islam menerima seorang saudara yang telah bertaubat dan tidak melakukan kesalahan moral seperti yang didakwa pimpinan Umno.

Malah katanya, pengundi di Parlimen Kota Bahru yang majoritinya beragama Islam juga dapat menerima Zaid ketika beliau bertanding dalam pilihan raya di kawasan satu ketika dahulu.

Tiada ulasan: