| | | |
| Oleh: SALIHIN LADJA MURA PENGHARAMAN penjualan rokok 14 batang bagi menghadkan kebolehcapaian awam terhadap rokok terutamanya di kalangan remaja, sebagaimana kata Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai di Dewan Rakyat baru-baru ini, bahawa kerajaan hanya akan membenarkan penjualan rokok 20 batang yang lebih mahal harganya selain memperluaskan kawasan larangan merokok di seluruh negara; disifatkan sebagai ‘Wabak H1N1’ yang mengembara dalam kotak. “Kementerian Kesihatan seperti lelaki impoten dalam kempen ‘Tak Nak’ kini menjadi ‘pondan’ dalam kempen pengharaman jualan rokok 14 batang,” ujar Aktivis Masyarakat, Azizul Sanarul yang menyifatkan tindakan dan kempen Kementerian Kesihatan hanya lebih bersifat ‘Syok Sendiri’ semua menteri yang menerajui kementerian berkenaan. Seperti dalam Wabak H1N1, media menggembar gemburkan isu berkenaan ke tahap maksima sehingga semua topeng muka habis dijual dan dalam masa yang sama banyak pihak mengaut keuntungan segera dengan penjualan ‘Anti-Dot’ bagi menentang merebaknya Wabak H1N1 yang pada dasarnya begitu senang dikawal. “Kementerian Kesihatan yang sering diterajui oleh menteri yang ‘hilang akal’ menjadi ‘vehicle’ kepada pihak tertentu melalui pelbagai kempen yang menguntungkan pihak tertentu dan dalam masa yang sama menyebabkan wang rakyat dibazirkan begitu sahaja,” tegas Azizul yang mendesak Perdana Menteri menghadkan peruntukan kempen melalui Kementerian Kesihatan sebaliknya melalui kementerian lain yang lebih mendekati masyarakat; terutama program komuniti bestari. Kata Azizul, kerajaan membelanjakan puluhan juta ringgit wang rakyat untuk Kempen ‘Tak Nak’ kini terpaksa berhadapan dengan peningkatan penjualan rokok haram yang semakin berleluasa di Sabah; ibarat menutup rumah pelacuran tetapi membuka lebih banyak pusat hiburan yang menyediakan GRO yang bersedia melayan pelanggan; hatta di tangga kedai atau di dalam kereta. “Kementerian Kesihatan tidak pernah berjaya dalam program hentikan merokok sekalipun Majlis Fatwa Kebangsaan telah memfatwakan bahawa merokok ‘Haram’ di sisi agama Islam, namun semakin ramai umat Islam yang merokok kerana ketagihan yang melampau,” ujar Azizul yang menyifatkan pengharaman penjualan rokok 14 batang membuka peluang kepada penagih membeli rokok murah di kaki lima kedai yang kini mendominasi ekonomi Sabah. Lebih mendukacitakan beliau, kata Azizul, ramai anggota keselamatan seperti polis dan tentera turut membeli rokok seludup di kaki lima kedai sehingga menyebabkan penjual rokok mempunyai imuniti. Senario di Sabah, kata Azizul, seolah-olah di Selatan Filipina kerana rokok seludup bebas dijual di kakilima kedai tanpa sebarang penguatkuasaan disebabkan ramai terlibat dalam ‘Skandal Rokok Seludup’ termasuk pihak berkuasa yang memantau perairan negara dan jaringan yang telah lama wujud di negeri ini; terutama di kawasan Barter Trade Sandakan, Tawau dan Kudat yang menjadi pintu masuk rokok seludup. |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan