KUALA LUMPUR : Rakyat kini semakin bijak dalam menilai dan memilih pemimpin yang bakal mewakili suara dan memperjuangkan hak mereka.
Kempen-kempen yang secara terangnya menyerang peribadi hanyalah permainan politik dan dilihat lebih kepada 'syok sendiri'.
Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub seperti dipetik media menyifatkan serangan peribadi Barisan Nasional ke atas calon Pakatan Rakyat (PR), Datuk Zaid Ibrahim tidak akan menambat hati pengundi Hulu Selangor, sebaliknya manifesto calon tetap menjadi perhatian.
“Pengalaman saya selama 30 tahun dalam politik ini, isu-isu yang terlalu peribadi ini sudah lagi tidak mendapat perhatian rakyat.
“Dalam beberapa siri pilihan raya kecil seperti di Kuala Terengganu, Bagan Pinang, Permatang Pasir dan Bukit Selambau, saya lihat isu-isu yang terlalu peribadi sudah tidak lagi menyentuh pengundi.
“Kempen secara peribadi ini rakyat sudah boleh faham, apa yang penting untuk mereka lihat adalah janji ataupun manifesto dan juga mahu melihat apa yang mereka boleh dapat daripada kerajaan,” kata beliau lagi.
Beliau turut menambah bahawa PAS bakal menurunkan 10,000 jenteranya dari seluruh negara dalam usaha memastikan kemenangan mutlak milik calon PR.
Menurutnya, fokus utama kini adalah memaksimakan jentera agar mengukuhkan PR serta bersiap sedia dalam menghadapi sebarang kemungkinan menjelang 25 April.
"Jentera diturunkan secara berperingkat-peringkat dengan menempatkan diri di unit peti undi. Malah dalam tiga hari terakhir ini kita kumpul maklumat kempen agar tepat mengenai sasaran.
"Ini sebagai komitmen kita agar PR menang," katanya yang ditemui media selepas berucap di Karnival Rakyat di Padang Majlis Daerah Hulu Selangor, Batang Kali malam tadi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan