HALAMAN SANTAI

Isnin, 19 April 2010

Zaid: Umno sepatutnya bersyukur, bukan serang

Nazeri Abdullah


KUALA LUMPUR: Tindakan Umno terus menyerang pribadi calon Pakatan Rakyat, Datuk Zaid Ibrahim adalah tidak wajar sama sekali kerana sepatutnya parti yang disertai orang Melayu dan Islam itu bersyukur kerana ada orang bertaubat dari kesilapan zaman lampau.

Ahli Parlimen Tumpat, Datuk Kamarudin Jaafar berkata, pemimpin Umno yang mendakwa diri mereka Islam sepatutnya tidak mengutuk peribadi Zaid kerana calon Pakatan Rakyat itu telah secara jujur mengakui kesilapan lampaunya itu dan telahpun bertaubat.

"Tindakan Umno itu memang sangat-sangat salah. Dicelanya lagi, diburuk-buruknya lagi bukannya mahu bersyukur menerima seorang yang telah bertaubat dari melakukan kesilapan," katanya ketika ditemui di Parlimen hari ini.

Tambahnya lagi, tindakan itu juga sekaligus membuktikan Umno sebuah parti yang zalim dan penafian Timbalan Presidennya, Tan Sri Muhyidin Yasin baru-baru ini bahawa Umno tidak zalim hanya mainan politik semata-mata.

"Ini satu contoh bahawa Umno zalim. Dulu waktu Zaid bertanding sebagai calon BN di Kota Bharu, kita tidak ekspliotasi isu ini kerana kita tahu ianya terlalu peribadi," katanya lagi.

Baru-baru ini, Zaid mengaku semasa mudanya beliau terlibat dengan alkohol namun beliau telah bertaubat dan telah meninggalkan perbuatan itu.

Baru-baru ini juga beliau telah ke Mekah menunaikan fardhu haji.

Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar pula mencabar pemimpin BN yang lain turut tampil secara jujur membuat pengakuan sama seperti dilakukan Zaid.

"Itu waktu dia (Zaid) duduk dalam Umno. Saya nak cabar tidak adakah pemimpin Umno yang minum bersama dia dulu dan masih belum berhenti lagi sekarang?

"Tampil la buat pengakuan sama kalau berani," katanya yang juga Naib presiden PAS.

Isu alkohol ini juga jelasnya akan memburukkan lagi Imej BN kerana semua yang berlaku adalah sewaktu Zaid berkawan dengan pemimpin BN.

"Isu ini back fire kepada mereka. Mereka kini terdesak sehingga sanggup menggunakan cara (serang peribadi) yang mereka paling a suka," katanya lagi.

Sebelum ini, bekas Adun Pulau Manis, Pekan, Datuk Mohd. Ariff Sabri bin Hj. Abdul Aziz melalui blognya, turut memperingatkan pimpinan Umno, tindakan mereka umpama 'membaling batu dari dalam rumah kaca' yang akan memusnahkan rumah sendiri.

"Bagaimana kalau lepas ini orang siar gambar pemimpin Umno buat yang sama," tulis beliau dalam blognya.

Tiada ulasan: