Oleh Shaarani Ismail, S Anand Kumar dan Haspaizi Mohd Zain
Terbang rendah tanda amaran tidak terus bantuan ke Gaza
KUALA LUMPUR: Tiga jet pejuang bersama sebuah pesawat tentera dipercayai milik Israel terbang rendah pada pagi semalam seolah-oleh memberi amaran kepada kapal bantuan kemanusiaan Rachel Corrie supaya tidak meneruskan misi ke Gaza.
Sehubungan itu, kapal berkenaan yang membawa pelbagai barangan perubatan, kerusi roda dan peralatan sekolah untuk rakyat Palestin terpaksa mengurangkan kelajuan bagi memastikan ia dapat tiba ke Gaza kira-kira jam 10 pagi ini.
Wakil Perdana Global Peace Organisation (PGPO) yang menyertai misi itu, Ahmad Faizal Azumu, ketika dihubungi semalam berkata, kapal itu akan berpatah balik jika tentera Israel melepaskan tembakan amaran.
“Kami tidak mahu mengambil risiko yang boleh mengundang insiden buruk. Sebaik saja melihat tiga jet pejuang berkenaan mendekati kapal, kami semua berbincang dan bersiap sedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan bagi memastikan semua anak kapal selamat.
“Mereka yang menyertai misi ini ialah sukarelawan yang mahu membantu rakyat Palestin. Kami bukan pengganas atau membawa senjata. Oleh itu, Israel tidak perlu risau dengan Rachel Corrie.
“Dengan tekanan diberikan dunia ke atas Israel kami yakin mampu meneruskan misi ini tanpa sekatan tentera Yahudi itu,” katanya.
Ahmad Faizal berkata, pihaknya menjangka akan tiba ke Gaza mengikut perancangan kerana keadaan cuaca mengizinkan.
“Kami sihat selain bersemangat dalam hubungan seperti satu keluarga walaupun berlainan bangsa, keturunan dan agama, tetapi misi kami adalah sama,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan