.
BERITA HARIAN ONLINE
KUALA LUMPUR: Cadangan nisbah pemilikan 60:40 hartanah bagi Bumiputera dan bukan Bumiputera di Kampung Baru hanyalah cadangan kerajaan dan tidak bermaksud menjual tanah di situ kepada bukan Bumiputera atau pelabur asing.
Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Datuk Raja Zainal Abidin, berkata kerajaan tidak bercadang untuk menjual tanah di Kampung Baru kepada bangsa lain, sebaliknya akan memastikan setiap pemilik tanah mendapat pulangan apabila tanah mereka diserahkan untuk tujuan pembangunan semula.
“Cadangan nisbah 60:40 hanya akan diguna pakai apabila keseluruhan kawasan Kampung Baru dibangunkan dengan pelbagai bangunan pencakar langit. Pengisian bangunan tinggi inilah yang kita cadangkan untuk nisbah itu dan tentunya nisbah akhir nanti adalah atas persetujuan pemilik sendiri.
“Pemilik tanah tidak akan dipinggirkan dalam proses pembangunan ini. Selepas semua pemilik tanah memiliki hartanah baru, mereka akan diberi peluang untuk menjual tanah mereka sepenuhnya atau menukarnya dalam bentuk saham atau pemilikan hartanah sementara kaedahnya akan diperhalusi kemudian,” katanya dalam kenyataan di sini, semalam.
Beliau berkata, kerajaan sedia berunding sekiranya pemilik tidak bersetuju dengan nisbah yang dicadangkan sehingga satu persetujuan menang-menang dicapai.
Selain itu, pihaknya juga belum membuat sebarang keputusan sama ada unit bangunan atau hartanah akan dijual, disewa atau dipajak kepada bukan Bumiputera atau syarikat asing.
“Sebenarnya, cadangan nisbah dibuat supaya ia turut disertai syarikat gergasi asing khususnya dalam bidang perhotelan, bank dan pusat beli belah bagi merancakkan lagi pembangunan di Kampung Baru untuk melonjakkan nilai kawasan itu,” katanya.
Raja Nong Chik berkata, dalam urusan penyerahan tanah kepada Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) yang bakal dilantik, pemilik akan diberi pilihan untuk menjual terus tanah mereka atau menukarnya dalam bentuk saham dan semua proses akan dijelaskan kepada pemilik sebelum keputusan dibuat.
“Saya memahami sensitiviti orang Melayu di Kampung Baru dan tidak berniat langsung untuk mengkhianati kaum sendiri sebaliknya akan terus memperjuangkan hak orang Melayu,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan