| TANAH…Gambar menunjukkan tanah yang dipohon syarikat berhampiran jalan masuk ke pusat peranginan Mimpian Jadi Tuaran. Gambar dari kiri, Marsah dan Rusnin. Oleh: HAJI GHULABDIN ENJIH PENDUDUK sekitar Kampung Simpangan, Sudot, Indai dan Termenung di Tuaran, Sabah mengesa Pejabat Daerah Tuaran agar membatalkan semua permohonan mendapatkan seluas kira-kira 1,000 ekar tanah paya bakau di Kawasan Sulaman di Daerah Tuaran oleh sebuah syarikat yang akan menjadikan kawasan itu sebagai satu destinasi pelancongan. Ahli Jawatankuasa Umno Bahagian Tuaran, Marsah Muyong dalam satu kenyataannya di sini kelmarin, memberitahu beliau sebagai mewakili masyarakat kampung yang merasa bimbang akan kehilangan tanah warisan mereka, mengharapkan agar kepentingan penduduk berhampiran mendapatkan tanah diberikan keutamaan oleh kerajaan. Katanya, kebenaran mengusahakan tanah nipah, paya dan bakau itu kepada syarikat berkenaan bukanlah merupakan satu langkah bijak kerana ia akan menjejaskan pendapatan harian penduduk tempatan yang sekarang inipun menjadikan beberapa batang sungai dengan pelbagai habitat seperti ikan, ketam dan siput sebagai salah satu sumber rezeki mereka. "Saya selaku penduduk Kampung Simpangan berhampiran dengan tanah yang dimaksudkan, telah menduduki perkampungan ini selama 50 tahun lalu dan sumber kehidupan keluarga kami adalah sebahagiannya bergantung dari hasil menangkap ikan, ketam dan siput yang dilakukan oleh arwah ayah saya di beberapa batang sungai termasuk dalam kawasan tanah yang dipohon syarikat tersebut," kata Marsah yang juga Bekas Wakil Ketua Anak Negeri (WKAN) Tuaran. "Saya mengharapkan kerajaan atas dokongan Barisan Nasional (BN) akan memberi pembelaan sewajarnya kepada rakyat kerana kami mampunyai hak dalam pemilikan tanah dan menjadikan tanah tersebut sebagai kampung tradisi untuk membangunkan projek Inap Desa yang juga boleh menarik kedatangan para pelancong ke Daerah Tuaran," kata Marsah dalam nada kecewa. Kalangan penduduk mendakwa, syarikat itu sudahpun memanggil beberapa orang tempatan untuk berkerja sebagai Pengawas Hutan di kawasan tanah yang akan dijadikan kawasan pelancongan, sehubungan itu bantahan yang bertujuan menghalang syarikat tersebut mendapatkan tanah itu telahpun disampaikan kepada pemimpin tempatan supaya kerajaan membantu membatalkan pengambilan tanah yang sepatutnya dimiliki oleh penduduk kampung berhampiran. Sebagai rekod tanah yang akan diambil oleh syarikat itu adalah terletak dalam Kawasan Dewan Undangan Negeri Sulaman yang diwakili oleh Datuk Haji Hajiji Haji Noor dan Kawasan Parlimen Tuaran diwakili oleh Datuk Seri Panglima Wilfred Mojulip Bumburing. Bekas Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Simpangan Tuaran, Rusnin Laseh yang turut menyampaikan kenyataannya berkata sekiranya tanah warisan penduduk tempatan kampung ini diberikan juga kepada syarikat itu, menunjukan kerajaan dan pemimpinnya telah menyimpang jauh dari konsep 1 Malaysia yang menyebut Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan. Dalam pada itu Rusnin yang memberitahu pengalaman masa lalu amat baik dijadikan pengalaman dan iktibar di mana pengambilan tanah beratus ekar yang sepatutnya dikekalkan sebagai tanah penduduk tempatan tetapi telah menjadi milik sebuah Syarikat Pelancongan yang kini dikenali sebagai Pusat Pelancongan Mimpian Jadi. "Saya merayu kepada kerajaan agar pengambilan tanah sepanjang Kampung Simpangan, Kampung Sudot sehingga ke Kampung Termenong tidak akan diambil oleh syarikat luar itu, yang bukan sahaja akan menghalang penduduk kampung mengambil habitatnya, malahan akibatnya akan kehilangan tanah yang akan diwarisi oleh anak cucu kami pada masa hadapan," kata Rusnin lagi |
HALAMAN SANTAI
Ahad, 20 Jun 2010
BATAL KELULUSAN TANAH KEPADA SYARIKAT LUAR
SABAH DAILY
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan