DETIK DAILY
KEMELUT yang terjadi dengan keputusan Mahkamah Tinggi terhadap kes Ahli Parlimen Batu, Tian Chua (KeADILan) dilihat seolah-olah adanya campur tangan politik terhadap mahkamah dalam usaha mengurangkan ahli parlimen Pakatan Rakyat.
Bagaimana pun, BN jelas dilihat mahu kerusi parlimen itu dikosongkan bagi diadakan pilihan raya kecil dengan harapan, BN akan menjuarai kerusi itu kelak
PAS percaya sokongan kaum Cina terhadap Pakatan Rakyat masih utuh dan jika berlakunya Pilihan Raya Kecil Parlimen Batu ia tidak mustahil akan memihak kepada Pakatan Rakyat, malah mampu meningkatkan jumlah majoriti undi.
Senario ini, diakui oleh Ahli Jawatan Kuasa PAS Pusat, Dato' Abu Bakar Chik yang menegaskan permainan licik Perdana Menteri, Najib Tun Razak ada disebalik keputusan ke atas Parlimen Batu itu. Jelas Abu Bakar, Najib sudah berjanji akan mencari jalan terbaik ke atas kemelut yang berlaku itu.
"Sekarang ini, Najib tidak ada hak untuk menghuraikan keputusan mahkamah, hanya mahkamah sahaja yang boleh menghuraikan. Apa hak Najib?" soalnya ketika dihubungi. Tegasnya, Najib seolah-olah tidak tahu bidang kuasanya dan mencampuri segala urusan termasuklah dalam bidang kehakiman.
"Ini bukan bidang kuasa dia sebagai ketua eksekutif, ini adalah bidang kuasa pembuat undang-undang dan kuasa mahkamah untuk bercakap soal undang-undang! Saya ingat, inilah ketua eksekutif dalam neagra kita ini. Amalan mereka sudah biasa mencampuri urusan kehakiman. Inilah dia hendak campur juga," katanya.
Sementara itu, bekas Menteri Besar Perak yang disingkirkan, Dato' Seri Nizar Jamaluddin pula percaya tindak-tanduk BN disebalik keputusan yang menimpa Tian Chua itu adalah untuk memastikan adanya pilihan raya kecil. Bagaimana pun, beliau menolak kemelut yang berlaku di kawasan milik Pengarah Strategi KeADILan itu berbeza dengan kes di tiga Dun yang berlaku di Perak. "Apa yang berlaku di Perak berbeza dengan kes Parlimen Batu di mana ia melibatkan kes jenayah. Sebaliknya di Perak akibat lompat parti," katanya.
Isu mengenai status Tian Chua menjadi perdebatan ramai ekoran keputusan mahkamah mengenakan denda RM2,000 ke atasnya selepas didapati bersalah mengigit seorang penjawat awam yang bertugas.
Sebelum itu, Pengerusi DAP, Karpal Singh terus mempertahankan hujah dan pendiriannya bahawa kerusi Parlimen Batu perlu diisytiharkan kosong walaupun Tian Chua adalah rakan Pakatan Rakyat. Karpal berhujah, di bawah Artikel 48(1)(e) Perlembagaan Persekutuan, kelayakan seorang ahli Parlimen gugur jika beliau dihukum penjara melebihi setahun atau didenda melebihi RM2,000 dan tidak mendapat keampunan. Karpal turut menegaskan sebenarnya Dewan Rakyat tidak ada kuasa untuk menentukan sama ada kerusi Batu perlu dikosongkan atau sebaliknya.
Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Dato' Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata Tian Chua boleh memilih untuk menjalani hukuman penjara dua bulan jika beliau tidak mahu kehilangan kerusi parlimennya itu. Junaidi, bagaimanapun, berkata Tian boleh memilih untuk menjalani hukuman dua bulan penjara bagi mengelak risiko terbatal kelayakannya sebagai ahli parlimen berhubung isu denda tersebut.
Pada 22 Oktober lalu, Mahkamah Majistret Kuala Lumpur menjatuhkan hukuman enam bulan penjara dan denda RM3,000 ke atas Tian Chua, selepas mendapatinya bersalah. Mahkamah bagaimanapun membenarkan penangguhan pelaksanaan hukuman tersebut untuk membolehkan Tian Chua membuat rayuan.
Tian Chua, 46, didakwa mencederakan konstabel Rosyaidi Anuar, 21, di depan bangunan Parlimen pada jam 10.45 pagi 11 Disember 2007. Rosyaidi bertugas dengan Bahagian Narkotik Ibupejabat Kontijen Polis Kuala Lumpur.
1 ulasan:
Yang mana lebih berat hukuman, membunuh atau mengigit?
Catat Ulasan