HALAMAN SANTAI

Khamis, 3 Jun 2010

Khidmat pelacur melalui MMS

PULAU PINANG - Sindiket pelacuran membabitkan wanita rakyat China kini dikesan menggunakan taktik baru iaitu dengan mengiklankan perkhidmatan mereka kepada pelanggan berpotensi melalui perkhidmatan mesej multimedia (MMS).

Modus operandi terbaru itu dipercayai digunakan ekoran operasi berterusan membanteras kegiatan tersebut yang giat dijalankan oleh pihak berkuasa seperti polis dan imigresen sejak kebelakangan ini.

Menerusi kaedah tersebut, pelanggan boleh memilih wanita yang diingini apabila MMS itu mengandungi imej seksi wanita rakyat China, umur, jenis perkhidmatan seks ditawarkan, nombor untuk dihubungi dan waktu beroperasi.

Difahamkan, selepas pelanggan membuat pilihan, ahli sindiket akan membuat perjanjian terlebih dahulu sebelum menghantar wanita yang telah dipilih ke lokasi pilihan mereka.

Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Tun Hisan Tun Hamzah ketika dihubungi berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan kegiatan itu merupakan modus operandi terbaru kegiatan pelacuran di negeri ini.

"Polis menasihatkan mana-mana pihak yang menerima MMS seumpama itu untuk membuat laporan dan sesiapa didapati bersalah boleh didakwa mengikut Seksyen 292 Kanun Keseksaan," katanya di sini hari ini.

Sementara itu, sumber memberitahu, cara terbaru berkenaan adalah usaha untuk memastikan sindiket pelacuran rakyat asing terutama dari China terus bertahan tanpa dikesan oleh pihak berkuasa.

"Kebanyakan ahli kumpulan tidak mampu bertahan selepas melabur ribuan ringgit membawa masuk wanita China untuk bekerja tetapi akhirnya ditahan pihak berkuasa.

"Melalui cara terbaru ini mereka berharap sekurang-kurangnya dapat memberi pulangan ke atas wang yang telah dilaburkan untuk menjalankan aktiviti tersebut," katanya.

Tiada ulasan: