HALAMAN SANTAI

Isnin, 25 Oktober 2010

2011 tahun persiapan hadapi pilihan raya umum

SINAR HARIAN ONLINE

SHAH ALAM – Timbalan Dekan Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia, Profesor Madya Dr Sivamurugan Pandian tidak menolak bahawa tahun 2011 penting bagi Presiden Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Najib Tun Razak.

Menurutnya, tahun 2011 akan kelihatan tahun persiapan Najib bagi menghadapi pilihan raya umum yang dikhabarkan akan berlangsung dalam beberapa bulan lagi.

Sehubungan itu, Sivamurugan berpandangan BN memerlukan sekurang-kurangnya setahun sebelum boleh dianggap sudah bersedia.

“BN tidak boleh bergantung kepada kelemahan lawan tetapi kekuatan mereka sebagai persediaan pilihan raya.

“BN tidak boleh mengadakan pilihan raya sekarang tanpa ada hasil akhir pelan transformasinya (ETP dan GTP).

“Ia boleh dikatakan bersedia jika satu undi Najib diterjemah kepada satu undi kepada BN kerana populariti beliau mampu menjana sokongan terutama di kalangan pengundi bukan Melayu,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Beliau mengulas akan desas desus bahawa Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 akan diadakan tidak lama lagi memandangkan pelbagai kenyataan oleh pemimpin negara berhubung persediaan parti.

Terdahulu, bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berpendapat PRU ke-13 tidak akan diadakan dalam masa terdekat meskipun terdapat gesaan daripada Najib agar perubahan-perubahan parti dilakukan dengan segera.

“Saya tak ingatlah akan cepat. Ada masa lagi,” katanya

Menurut Sivamurugan, dalam satu tahun akan datang, BN perlu memahami apa keperluan dan kemahuan rakyat dan menilai cara fikir rakyat untuk memulihkan kepercayaan.

Dalam pada itu, beliau berkata faktor calon yang berwibawa dan berupaya menangani isu perlu diberi penekanan oleh BN.

“ Faktor calon memainkan peranan berbanding parti yang hanya mengukuhkan calon,” katanya.

Tiada ulasan: