HALAMAN SANTAI

Khamis, 28 Oktober 2010

28 peratus jemaah haji Malaysia pilih pakej swasta

BERNAMA


Pemilihan pakej komersial menunaikan fardu haji semakin meningkat kebelakangan ini. — Foto Reuters

MEKAH — Sebanyak 28 peratus atau lebih 7,000 orang daripada 26,000 jemaah haji Malaysia memilih pakej swasta untuk menunaikan fardu haji tahun ini.

Pengarah Operasi Pengelola Jemaah Haji (Swasta) Lembaga Tabung Haji (TH), Mat Admara Alang Azizdin berkata pakej tersebut dikendalikan oleh 24 syarikat yang memiliki lesen.

Katanya trend pemilihan pakej komersial dalam dua tiga tahun kebelakangan ini meningkat berikutan pemulihan ekonomi negara.

“Walaupun kos pakej berharga dari RM16,000 hingga RM100,000 seorang, ia masih mendapat permintaan tinggi rakyat Malaysia yang berkemampuan,” katanya kepada pasukan media TH yang membuat liputan haji musim ini.

Beliau berkata pakej swasta menawarkan tempat penginapan lebih selesa di hotel bertaraf empat atau lima bintang serta berdekatan Masjidil Haram dan di Jamrah.

Dalam pada itu, beliau yang juga Pengurus Besar (Agensi Haji) TH berkata pihaknya telah menarik balik lesen empat buah syarikat yang diberi lesen tahun lepas kerana gagal memenuhi janji kepada pelanggan mereka.

Katanya syarikat swasta yang memohon lesen perlu memenuhi beberapa syarat antaranya jaminan bank sebanyak RM100,000, perjanjian penyewaan bilik atau bangunan dan setiap satu pakej perlu mengandungi tidak kurang daripada 100 orang jemaah.

“Perkhidmatan mereka dipantau setiap hari. Pelanggan pula dinasihatkan supaya membuat aduan di tanah suci supaya boleh disiasat segera,” kata Mat Admara.

1 ulasan:

orangkampong berkata...

Tabung Haji sekarang sudah jadi agen berniaga pulak, bukan untuk urus kebajikan jamaah haji seperti matlamt penubuhannya dahulu.

Orang kampung ramai yang melopong mulut tak dapat pergi haji sebab tak mampu cari wang sampai berbelas ribu malah sampai RM 27,000 seorang !.

Dulu kata Tabung Haji siapa dah penuh simpanan boleh pergi haji. Lepas tu tukar pulak polisi konon siapa umur lebih 60 tahun dapat keutamaan pergi ke Mekah.

Sekarang tukar pulak polisi korperat : siapa mampu ikut pakej , boleh pergi tahun mendaftar tu jugak !.

Harap wakil-wakil rakyat di parlimen tolong bangkitkan masalah ni. Sebab ramai orang kampung dah putus asa dan teraniaya...

Kata mereka sekarang syarat wajib pergi haji dah kena tambah lagi iaitu: Pergi haji ikut pakej !.

Semoga Allah memberi pertunjuk kepada Tabung Haji supaya tidak khianat harapan umat Islam, semata-mata kerana mencari keuntungan duniawi semata-mata !.