HALAMAN SANTAI

Selasa, 5 Oktober 2010

Ancaman RPK: Pakatan cakap tak serupa bikin, kata Muhyiddin

BERNAMA

IPOH— Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menyifatkan “ancaman” yang dibuat oleh penulis blog Raja Petra Kamarudin menarik diri daripada menyokong Pakatan Rakyat (PR) sebagai gambaran kepada persepsi para penyokong pembangkang terhadap daya kepimpinan parti pembangkang terutama Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Beliau berkata keadaan tersebut menjadi satu petanda hilang keyakinan anggota dan penyokong terhadap daya kepimpinan PKR.

“Saya baca juga laporan dalam blog (berkenaan kenyataan Raja Petra)... mempertikaikan kepimpinan, cakap tak serupa bikin, tidak menunaikan janji,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Bulan Bahasa Kebangsaan 2010 di Stadium Indera Mulia di sini hari ini.

Muhyiddin (gambar) yang juga Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) berkata perkara itu bukan perkembangan baru kerana sebelum ini pengasas dan pimpinan atasan PKR juga telah keluar meninggalkan parti tersebut.

Katanya, semakin ramai anggota termasuk di peringkat atas dan anggota bawahan di bahagian dan cawangan telah sedar dan bertindak meninggalkan parti berkenaan.

“Ahli (sendiri) sedar dan tidak lagi yakin... kita harap (rakyat) mengambil iktibar dan buka hati, fikir,” katanya.

Menurut portal berita The Malaysian Insider, Raja Petra, juga dikenali sebagai RPK, menyatakan rasa kurang senang dengan apa yang beliau dakwa kegagalan Pakatan memenuhi manifesto pilihan raya sekalipun sudah menguasai beberapa buah negeri selama lebih dua setengah tahun.

Pernyataan rasa kecewa RPK dilahirkan pada majlis dialog dengan rakyat Malaysia di London pada Ahad yang turut dihadiri oleh pemimpin Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim.

RPK juga mengancam menarik diri daripada menyokong PR dalam pilihan raya kecil Galas akan datang oleh kerana PR telah gagal memenuhi janji yang dipersetujui sebelum pilihan umum Mac 2008.

Ditanya mengenai pergolakan kepimpinan DAP Perak, Muhyiddin berkata beliau menyerahkan kepada kebijaksanaan masyarakat dan rakyat untuk menilai serta membuat ukuran atas apa yang berlaku itu.

Tiada ulasan: