SHAH ALAM – Setiausaha Akhbar Menteri Besar, Faekah Husin, meminta Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin, supaya menunaikan janji pilihan raya membina laluan monorel dari ibu negara ke Rembau, sebelum menyerang keberkesanan urus tadbir Selangor di bawah Kerajaan Pakatan Rakyat (Pakatan).
Beliau berkata, isu kecurian pasir bukan fenomena baru berlaku di Selangor, sebaliknya ia adalah gejala yang membarah di negeri-negeri yang kaya dengan hasil galian tersebut, sejak sebelum Pilihan Raya Umum (PRU) 2008 lagi.
“Isu kecurian pasir telah dibangkitkan sejak puluhan tahun lalu di Selangor, ketika di bawah Barisan Nasional (BN). Namun begitu, di sebalik rungutan dan aduan dibuat oleh rakyat, kerajaan yang ketika itu dipimpin bapa mertua beliau sendiri, gagal menyelesaikannya,” kata Faekah.
“Ahli Parlimen Rembau itu sepatutnya lebih menumpu untuk menunaikan janji kepada rakyat Rembau untuk membawa perkhidmatan monorel hingga ke depan pintu rumah mereka. Tiga tahun telah berlaku, jangankan monorel, cerita mengenainya kian menjadi jenaka,” ujarnya lagi.
Faekah menyarankan kepada Khairy untuk menilai sejauh mana Belanjawan Nasional 2011 yang dirangka Perdana Menteri, Najib Abdul Razak, dapat membantu ekonomi dan pemerkasaan anak-anak Selangor tanpa mengira jalur politik.
“Peruntukan RM200 juta jika dibandingkan dengan RM111 juta kepada Permata, cukup untuk menguja Ahli Parlimen Rembau itu membahaskannya di peringkat parti,” kata Faekah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan