SHAH ALAM- Ketua Pemuda Sosialis DAP (Dapsy), Anthony Loke menyifatkan Ketua Penerangan Pemuda Umno, Datuk Seri Reezal Merican bukan sahaja buta maklumat bahkan boleh juga disifatkan sebagai seorang yang hipokrit dan buta Perlembagaan.
Ahli Parlimen Rasah itu juga membidas kenyataan Reezal apabila menghalang beliau daripada bersuara dalam isu tersebut dengan alasan dangkal bahawa beliau bukan anak Pulau Pinang.
"Bukankah hak bersuara setiap warganegara Malaysia termaktub dalam Perlembagaan Malaysia? Bukankah Pulau Pinang sebahagian daripada Persekutuan Malaysia?.
"Jadi, mengapa sebagai warganegara Malaysia saya dinafikan hak saya oleh Reezal untuk bersuara tentang sesuatu isu yang bangkit di sebuah negeri dalam Persekutuan Malaysia?.
"Apa yang melucukan adalah maklum balas daripada Reezal selepas beliau tidak mampu menjawab hujahnya bahawa kerajaan Umno-Barisan Nasional telah menggunakan sumber hasil perjudian sejak merdeka lagi. Beliau bukan sahaja buta maklumat dan hipokrit, malah saya menyifatkan beliau juga seorang yang buta Perlembagaan.
"Kalau mengikut logik beliau, seseorang yang bukan anak Pulau Pinang tidak berhak bersuara tentang hal-ehwal Pulau Pinang, saya ingin bertanya kepada Reezal sama ada beliau juga mencadangkan bahawa Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin juga tidak ada hak untuk memberikan komen tentang isu wang ehsan Kerajaan Pulalu Pinang kerana Muhyiddin juga bukan anak Pulau Pinang dan berasal dari Johor," jelas Anthony.
Beliau menegaskan Dapsy akan terus bersuara untuk mempertahankan kerajaan negeri Pulau Pinang dan membongkar sikap hipokrit pemimpin Umno termasuk Reezal.
"Pemimpin Umno Pulau Pinang sepatutnya insaf dengan kebodohan mereka untuk terus membangkitkan isu wang ehsan kerajaan negeri Pulau Pinang untuk fakir miskin kerana daripada 100,000 warga emas Pulau Pinang yang telah menerima wang saguhati RM100 dari kerajaan negeri, Umno hanya mampu mendapat 40 warga emas untuk memulangkan wang tersebut," kata beliau.
Ujarnya lagi, itu hanya merupakan 0.04 peratus daripada mereka yang memberi keyakinan kepada kerajaan negeri yang disyaki diperdaya oleh Umno Pulau Pinang.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan