HALAMAN SANTAI

Rabu, 20 Julai 2011

Cukai kondo naik 175 peratus, Adun Seri Setia mahu MB campur tangan


PETALING JAYA – Ahli Dewan Undangan Negeri Seri Setia Nik Nazmi Nik Ahmad menggesa Pejabat Tanah dan Galian Selangor mengkaji semula kenaikan cukai tanah melibatkan kondominium Kelana D’Putera – didakwa meningkat sehingga 175 peratus.

Nik Nazmi, Pengarah Komunikasi PKR berkata, kadar cukai tanah di kawasan tersebut naik mendadak kira-kira 175 peratus.

“Penduduk terpaksa membayar cukai pintu dari RM12,406 kepada RM34,128. Kenaikan ini bukannya sedikit tetapi mendadak hingga 175 peratus,” kata Nazmi pada sidang media di Pusat Khidmat Rakyat DUN Seri Setia, hari ini.

Selain itu, Nazmi juga berkata, kenaikan cukai ini berlaku apabila status kediaman bertukar kepada perniagaan.

Jelasnya, sejak 2009, bayaran cukai diambil kira status kediaman.

Namun, sejak 2010 mereka membayar mengikut unit perniagaan sekali.

Nazmi difahamkan, penduduk telah mengadakan pertemuaan dengan Pejabat Tanah dan Galian Selangor berhubung isu ini.

“Bagaimanapun, jawapan yang diterima, mereka (penduduk) tinggal di kawasan pembangunan bercampur, terdapat 625 unit kediaman dan tiga unit kedai dan kawasan ini dikategorikan dari Mukim Damansara kepada Bandar Petaling Jaya,” katanya.

“Saya terima kenaikan ini tetapi ia terlalu mendadak hanya disebabkan menjadi bangunan bercampur.

“Kenapa berlaku pada tahun 2010,” ujar Nazmi.

Sehubungan itu, Nazmi berkata, beliau akan menghantar surat kepada Menteri Besar Selangor untuk mencari penyelesaian.

“Saya akan hantar surat kepada Menteri Besar dalam minggu ini juga. Saya minta supaya kadar kenaikan cukai lebih munasabah,” katanya.

Wakil Persatuan Pemilik dan Penghuni Kondominium Kelana D’Putera, Nor Aziah Sulaiman berkata, penduduk kediaman berasa tidak adil dengan kenaikan ini.

“Ini satu beban yang terlalu besar. Seseorang telah menjual unit untuk perniagaan tetapi tidak meminta kebenaran penduduk lain. Perkara ini juga tidak adil,” katanya.

Dalam pada itu, kondo ini juga mengalami masalah kutipan sampah masih belum dilaksanakan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).

Pengerusi Perumahan Kondominium Tiara Kelana, Peggy Liu Peck Yee berkata, mereka telah mencapai persetujuan bersama dengan MBPJ untuk pungutan sampah namun, sampai sekarang MBPJ masih tidak membuat kerja.

“Sudah hampir lima bulan, MBPJ masih tidak buat kerja. Saya juga telah jumpa Alam Flora tetapi mereka memberitahu tidak mendapat kontrak daripada MBPJ.

“Jadi, ini menyusahkan kami (penduduk) kerana selain membayar cukar taksiran yang tinggi terpaksa pula membayar yuran penyelenggaraan yang tinggi bagi menguruskan pembuangan sampah,” katanya.

Justeru, Nik Nazmi berkata, beliau juga akan menghantar surat kepada Datuk Bandaraya MBPJ berkenaan masalah ini.

Tiada ulasan: