KUALA LUMPUR – Pengerusi Kokus Pekerja Parlimen Abdullah Sani Abdul Hamid menimbulkan persoalan sama ada Menteri Sumber Manusia atau Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) yang bercakap benar dalam isu terbaru berkaitan dengan undang-undang mengenai gaji minimum kebangsaan.
“Ini maklumat baru bagi saya,” kata Abdullah Sani kepada The Malaysian Insider ketika ditanya pendiriannya mengenai laporan bahawa MTUC dan Persekutuan Majikan-majikan Malaysia (MEF) mendakwa pihaknya tidak dimaklumkan secara formal mengenai kandungan Rang Undang-undang Majlis Perundingan Gaji Negara 2011, yang diluluskan oleh kedua-dua Dewan Rakyat dan Dewan Negara baru-baru ini.
“Ketika saya menimbulkan perkara ini di Dewan Rakyat, Menteri Sumber Manusia (Datuk Dr S Subramamiam) berkata kepimpinan dulu (sebelum Disember 2010) tidak setuju dengan dasar gaji minimum, tetapi kepimpinan sekarang sudah bersetuju,” kata Abdullah Sani, calon jawatan setiausaha agung MTUC pada akhir Disember lalu.
Susulan pemilihan Disember lalu, MTUC menerima presiden dan setiausaha agung yang baru.
“Jadi siapa yang cakap benar dalam isu ini sekarang? Jika menteri berbohong, saya akan membawa usul ke atas menteri pada sesi Parlimen Oktober ini, mendakwa menteri sudah mengelirukan di Dewan (Rakyat),” kata beliau.
Abdullah Sani juga berkata, tidak logik kedua-dua kepimpinan MTUC dan MEF boleh berbohong dalam hal ini memandangkan mereka memberi pendirian yang sama.
“Mengikut semangat tiga pihak, kerajaan sepatutnya membawa mana-mana rang undang-undang mengenai dasar perburuhan ke NLAC (Majlis Penasihat Buruh Kebangsaan)... ini sepatutnya dibuat. Apa jadi sekarang, saya tidak pasti,” kata beliau lagi.
Ahli Parlimen PKR dari Kuala Langat ini menambah, perkembangan terbaru ini menunjukkan bahawa pendirian Putrajaya mahu memperkenalkan dasar gaji minimum berhadapan dengan ketidaktentuan dan dilema kemungkinan tidak akan menjadi kenyataan.
“Berdasarkan apa yang berlaku sekarang ini, saya pasti dasar gaji minimum tidak akan dilaksanakan,” kata beliau sambil menambah, “saya tidak nampak ada sebarang hala tuju.”
Dalam laporan The Malaysian Insider Jumaat lalu, MTUC dan MEF bersatu suara menggesa Putrajaya mengkaji semula rang undang-undang berkaitan gaji minimum yang baru diluluskan oleh Parlimen.
Rang Undang-Undang Majlis Perundingan Gaji Negara 2011 – yang akan membuka laluan kepada pelaksanaan gaji minimum dan Putrajaya memberi jaminan akan dilaksanakan akhir tahun ini, telah diluluskan oleh kedua-dua Dewan Rakyat dan Dewan Negara pada sesi Parlimen yang baru shaja berakhir.
Perkembangan ini dilihat kemungkinan akan melewatkan pelaksanaan gaji minimum, malah ada suara ia kemungkinan tidak akan menjadi kenyataan.
MTUC melahirkan rasa tidak puas hati ekoran tiga perkara manakala MEF pula menggariskan dua aspek penting.
Pengarah Eksekutif MEF, Shamsuddin Bardan berkata, “kami mahu kerajaan mengkaji balik atau meminda rang undang-undang yang sudah pun diluluskan.”
“Rang undang-undang ini baru diluluskan dan belum diberi perkenan oleh Yang di-Pertuan Agong untuk diwartakan... jadi, kami rasa masih ada masa bagi kerajaan memperbetulkan peruntukan-peruntukan yang tidak adil ini,” kata Shamsuddin lagi.
Ketika ditanya sama ada MEF menolak rang undang-undang itu, Shamsuddin memberitahu: “Kami tiada kuasa untuk menolak.”
“Tetapi kami mahu kerajaan mengkaji balik, meminda akta ini,” katanya lagi sambil menegaskan, MEF dan MTUC tidak diajak berbincang secara formal apabila rang undang-undang ini digubal.
Katanya, MEF pernah menyertai sesi perbincangan makmal dan bengkel mengenai gaji minimum tetapi tidak selepas itu.
“Sepatutnya apa-apa undang-undang berkaitan dengan pekerja dan menyentuh kepentingan majikan perlu dibincangkan dalam mesyuarat tiga pihak iaitu di NLAC, tetapi ini tidak dilakukan,” katanya.
NLAC merupakan badan tiga pihak membincangkan isu-isu perburuhan.
Perkara itu turut diakui oleh Setiausaha Agung MTUC Abdul Halim Mansor sambil berkata, NLAC tidak bersidang sejak Mei 2010.
Kata Halim, MTUC juga tidak bersetuju dengan tarikh pelaksanaan gaji minimum yang akan dilaksanakan berdasarkan budi bicara kerajaan mengikut sektor, wilayah dan pekerjaan.
Sedangkan MTUC mahu dasar gaji minimum kebangsaan yang akan dilaksanakan serentak di seluruh negara.
Dalam nada yang kecewa, Halim berkata, “kami sebagai badan kesatuan sekerja, mewakili pekerja telah diketepikan.”
“Kami merasakan kerajaan telah mengetepikan peranan MTUC,” kata beliau.
MTUC mengambil pendirian itu pada mesyuarat khas majlis amnya pada 6 Julai lalu, kira-kira seminggu selepas Dewan Rakyat meluluskan rang undang-undang itu yang sudah lama dinantikan.
The Malaysian Insider difahamkan rata-rata kebanyakan pemimpin MTUC terkejut dengan keputusan pentadbiran Najib membahaskan rang undang-undang itu di Dewan Rakyat.
“Mengikut rekod yang ada pada MTUC, kami tidak pernah dipanggil berbincang mengenai rang undang-undang ini... itu yang kami rasa terkilan, seolah-olah kami dibelakangkan,” kata Halim lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan