HALAMAN SANTAI

Khamis, 21 Julai 2011

Empat pelajar UKM ditahan April 2010 bebas tuduhan

THE MALAYSIAN INSIDER

KUALA LUMPUR— Empat penuntut Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), yang dihadapkan di mahkamah pusat pengajian tinggi itu awal bulan ini kerana disyaki terlibat dalam kempen pilihan raya kecil Hulu Selangor 14 bulan lalu, telah bebas tuduhan.

Keempat-empat mereka dimaklumkan keputusan itu oleh pengurusan UKM hari ini.

Keempat-empat penuntut terbabit Muhammad Hilman Idham, 21; Woon King Chai, 22; Muhammad Ismail Aminuddin, 22, dan Azlin Shafina Mohamad Adzha gagal mendapatkan perintah injunksi bagi menghalang pentadbiran UKM mengambil sebarang tindakan disiplin terhadap mereka.

Woon ketika dihubungi The Malaysian Insider berkata dia menerima surat menyatakan “tidak disabitkan kesalahan” petang ini.

“Surat yang diterima juga memberikan nasihat agar berhati-hati dengan barang yang dibawa oleh kereta dinaiki pada masa-masa akan datang,” katanya lagi.

Hilman pula berkata dia ada menerima panggilan daripada UKM tengah hari tadi tetapi tidak dapat menjawab sebab sibuk dengan kerja seharian.

“Tiga kawan saya sudah menerima surat, saya belum lagi... mungkin saya pun sudah bebas, tidak bersalah... saya akan segera ke UKM, atau mungkin mereka akan memanggil saya lagi esok,” katanya lagi.

Hilman menyifatkan keputusan ini adalah hasil tekanan dan sokongan masyarakat bagi menjamin kebebasan institusi pengajian tinggi dan mahasiswa boleh aktif berpolitik.

Mereka berempat menghadapi mahkamah UKM pada 4 Julai lalu.

Mereka yang merupakan penuntut jurusan sains politik, mendakwa tindakan tatatertib yang dikenakan oleh universiti itu bagi kesalahan mengikut Seksyen 15(5)(a) Akta Universiti dan Kolej Universiti, adalah tidak berasas dan tidak sah di sisi undang-undang.

Tiada ulasan: