Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu masih boleh berpidato di pentas ceramah walaupun masih berkerusi roda akibat kecederaan dirempuh kereta polis pada perhimpunan BERSIH 2.0 9 Julai lalu.
Jumaat lalu, Mohamad menjalani pembedahan membetulkan ligamen lututnya yang terkoyak akibat dirempuh kenderaan Land Rover polis dalam perhimpunan BERSIH 2.0.
Beliau yang menjalani pembedahan di Hospital Pakar KPJ Selangor di Shah Alam, di mana doktor memasukkan skru sepanjang 2.5 inci ke belakang pelipat lutut kanannya yang mengalami kecederaan.
Ketika dikunjungi Malaysiakini, Mohamad - yang keluar dari hospital tiga hari lalu - juga menunjukkan gambar sinar X mengenai kecederaan lututnya selepas menjalani pembedahan.
Sepanjang pemerhatian Malaysiakini, di sebalik menahan kesakitan, beliau masih mampu senyum dan ketawa. Doktor menasihatkannya supaya banyak berehat dan hanya bergerak mengikut keupayaan dirinya.Lunjur kaki
Malaysiakini mendapati Mohamad kelihatan lebih sihat, bertenaga dan sudah mampu menggerakkan kaki kanannya jika dibanding ketika ditemui sewaktu menziarahi Allahyarham Baharudin Ahmad 10 Julai lalu.
Dalam pertemuan selama 30 minit itu juga, beliau ditemani pembantunya, bergerak menaiki tangga rumah dua tingkatnya untuk bersiap ke pejabatnya di Jalan Raja Laut.
Sewaktu menuruni tangga kemudiannya, Mohamad - yang akan menyambut ulangtahun ke-58 Oktober ini - turut kelihatan penat sambil berseloroh berkata:
"Budak-budak kalau lima hari, dah melompat dah. Orang tua lambat sikit (sembuh)".
Beliau yang juga pernah ditahan ISA, juga kesal dengan laporan media arus perdana yang melaporkan bahawa beliau cuba menarik simpati dengan berkain pelikat dan berkerusi roda sewaktu sidang DUN Selangor minggu lalu.
Bahkan beliau turut menafikan dakwaan pihak-pihak tertentu yang beliau berlakon untuk meraih simpati susulan kecederaan lututnya itu.
"Saya tidak berlakon," tegasnya sambil menegaskan kecederaan itu dijangka pulih sepenuhnya dalam tempoh satu hingga dua bulan.
Mengulas lanjut, Mohamad berkata kemungkinan hari ini beliau akan pulang ke kampung halamannya di Pulau pinang untuk mendapatkan rawatan kampung secara tradisional di samping bertemu dengan saudara-mara di sana.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan