BANGI — Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata cabaran terbesar umat Islam hari ini adalah mengembalikan semangat dan mukjizat al-Quran untuk menyatukan masyarakat Muslim.
Timbalan Perdana Menteri (gambar) ini berkata umat Islam khususnya di negara ini harus mengambil iktibar daripada mukjizat al-Quran untuk memperkukuhkan kesatuan ummah di bawah kitab suci agama Islam.
“Telah terbukti bahawa masyarakat Arab jahiliah yang paling parah perpecahannya pun dapat disatukan dengan keimanan Allah SWT setelah mereka menerima ajaran al-Quran yang dibawa Nabi Muhammad SAW.
“Sewajarlah umat Islam hari ini mengambil iktibar daripada mukjizat al-Quran yang paling istimewa ini untuk memperkukuhkan kesatuan ummah di bawah lembayung dan panduan al-Quran,” katanya ketika merasmikan Seminar al-Quran Peringkat Antarabangsa di Institut Latihan Islam Malaysia di sini.
Justeru, Muhyiddin yang juga Timbalan Presiden Umno berkata, umat Islam harus menjadi al-Quran sebagai panduan dan pedoman hidup selain menurut perintah Allah.
“Persoalann yang perlu kita renungkan sejauh mana al-Quran telah memberi impak yang besar dalam kehidupan umat Islam? Adakah kita benar-benar menjadikan ajaran al-Quran sebagai landasan dalam kehidupan peribadi, keluarga dan juga masyarakat? Dalam konteks umat Islam, adakah kita telah berjaya menjadikan al-Quran sebagai pedoman untuk membina kekuatan dan kegemilangan ummah?
“Persoalan ini dapat dirungkai sekiranya kita benar-benar memahami intipati al-Quran dan menghayati nilai-nilai yang terbit daripada ajaran al-Quran, sesungguhnya intipati al-Quran yang paling utama adalah tauhid iaitu kepercayaan yang utuh tentang KeEsaan Allah SWT,” katanya.
Jelas beliau, ajaran al-Quran juga mengajar umatnya agar sentiasa bersatu padu dan tidak berpecah-belah.
“Apabila al-Quran menyebut tentang kepentingan berpegang kepada tali Allah, ia merujuk kepada kewajiban kita sebagai umat Islam untuk berpegang kepada nilai yang diturunkan Allah menerusi al-Quran iaitu nilai perpaduan.
“Dengan menyeru umat Islam supaya bersatu dan menghindari perpecahan, al-Quran jelas menjadikan perpaduan ummah sebagai nilai yang penting sementara perpecahan dan perbalahan adalah nilai yang secara konsisten ditolak al-Quran,” katanya.
Selain itu tambah Muhyiddin, negara memerlukan lebih banyak institusi pengajian tinggi yang berteraskan ilmu al-Quran.
“Menyedari hakikat ini, kerajaan sentiasa memberikan perhatian yang serius terhadap pendidikan al-Quran di negara kita termasuk bidang tahfiz al-Quran yang melahirkan graduan yang bukan sahaja menghafal al-Quran tetapi turut mendalami ilmu-ilmu yang berkaitan dengan al-Quran,” katanya.
Beliau turut meminta agar Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menaiktaraf intitusi Darul Quran kepada kolej universiti.
“Sudah tiba masa untuk Darul Quran dinaikkan taraf sebagai sebuah kolej universiti yang dapat menampung lebih ramai pelajar di samping menawarkan lebih banyak bidang pengajian berteraskan ilmu al-Quran,” katanya.
Sebelum ini Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata proses menaik taraf Darul Quran berada ldam peringkat akhir.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan