KUALA LUMPUR — Kerajaan tidak akan mengadakan suruhanjaya baru atau badan lain bagi mencari jalan penyelesaian ke atas rasa tidak puas hati ekoran laporan suruhanjaya diraja siasatan mengenai kematian bekas setiausaha politik DAP Teoh Beng Hock.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nazri Aziz (gambar) berkata, pendedahan laporan suruhanjaya diraja kepada umum, pada Khamis lalu, telah menututp kes kematian mendiang Teoh dan segala-galanya telah selesai.
“Tidak akan ditubuhkan satu lagi suruhanjaya semata-mata untuk memuaskan hati mereka yang tidak puas hati. Itu memang tidak boleh dan tidak akan dilakukan,” kata beliau dalam temu bual disiarkan Mingguan Malaysia hari ini.
Nazri berkata, melainkan ada ruang dibenarkan mengikut undang-undang, terpulang kepada mahkamah yang mana boleh mereka boleh meneruskan.
“Teruskanlah,” kata beliau sambil menambah, “kerajaan telah berbelanja berjuta ringgit untuk suruhanjaya ini dan itu adalah duit rakyat,” katanya menjawab pandangan dan pendirian sesetengah pihak yang tidak berpuas hati dengan keputusan diumumkan oleh suruhanjaya dalam laporannya.
Sejurus selepas kandungan laporan itu diumumkan, ibu Teoh menolak hasil siasatan dan keputusan suruhanjaya bahawa kematian anaknya berpunca daripada bunuh diri.
Suruhanjaya siasatan terdiri daripada lima anggota diketuai oleh seorang hakim Mahkamah Tinggi telah menjalankan prosiding siasatan selama 50 hari dan memanggil 70 saksi.
Teng Huw Hoi, 58, berkata dia tetap yakin bahawa Teoh tidak membunuh diri atas alasan anaknya itu seorang yang baik.
Keluarga itu menyerahkan kepada pihak peguam untuk mengambil tindakan susulan.
Teoh, 30, setiausaha politik kepada Exco Selangor, Ean Yong Hian Wah ditemui mati di koridor tingkat lima Plaza Masalam, Shah Alam, Selangor pada 16 Julai 2009 selepas memberi keterangan di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)Selangor yang terletak di tingkat 14, plaza berkenaan.
Karpal Singh, peguam bagi keluarga Teoh, berkata beliau mempertimbangkan untuk mencabar keputusan suruhanjaya diraja itu di mahkamah.
“Memandangkan keluarga ini tidak menerima keputusan suruhanjaya diraja bahawa anak lelaki mereka membunuh diri, satu daripada pilihan yang mereka ada ialah untuk membawa perkara ini ke mahkamah,” katanya.
Beliau mempertimbangkan untuk memfailkan permohonan semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi bagi mengetepikan keputusan berkenaan.
Pada sidang media Khamis lalu juga, Nazri berkata kerajaan memberi jaminan bahawa tindakan sewajarnya akan diambil terhadap pegawai yang melanggar prosedur SPRM berdasarkan peraturan dan undang-undang sedia ada.
Katanya, hasil siasatan suruhanjaya itu juga mendapati bahawa tiga pegawai penyiasat yang terbabit dalam kes ini telah menggunakan taktik soal siasat yang berterusan, agresif dan keterlaluan ke atas Teoh yang didapati melanggar prosedur sedia ada.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan