SHAH ALAM : Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim memaklumkan pusat hiburan di Selangor akan beroperasi seperti biasa sepanjang bulan Ramadan ini, namun pengusahanya perlu menghormati umat Islam di negeri itu.
Abdul Khalid berkata langkah itu diambil selaras dengan keputusan kerajaan negeri yang tidak menghalang orang bukan Islam menganjurkan aktiviti hiburan sepanjang Ramadan nanti, namun ia haruslah memenuhi syarat dan garis panduan yang ditetapkan.
"Kita tidak menghalang orang bukan Islam mengadakan aktiviti hiburan mereka, namun ia perlu mengambil kira hal ini serta mesti menghormati hak orang Islam untuk beribadat," katanya dalam sidang media selepas merasmikan Konvensyen Budaya Kerja Islam Dalam Konteks Peningkatan Kualiti dan Produktiviti Sektor Korporat, di sini hari ini.
Jelas Abdul Khalid, tiada masalah akan timbul sekiranya kerajaan negeri membenarkan operasi premis hiburan diteruskan semasa bulan Ramadan asalkan ia tidak disertai umat Islam.
"Kita tidak menutup pusat hiburan, tetapi orang Islam tidak dibenarkan masuk atau memberikan perkhidmatan. Jadi dengan cara itu, orang akan menghormati Islam. Islam tidak menghalang tetapi Islam menggalakkan cara yang betul, maknanya mengambil minumam keras itu salah dalam Islam. Tetapi kalau yang bukan Islam juga tidak mengambilnya, ia adalah perkara baik," ujarnya.
Abdul Khalid berkata pada masa yang sama orang bukan Islam juga dijemput
memeriahkan bulan Ramadan seperti menyertai majlis berbuka puasa.
Baru-baru ini, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dilapor berkata agensi itu tidak ada kuasa untuk mengarahkan semua pusat hiburan di negeri itu menghentikan operasi pada bulan Ramadan.
Sebaliknya, Pengarah JAIS, Marzuki Hussin berkata waktu operasi pusat hiburan tertakluk kepada pihak berkuasa tempatan di negeri itu, yang juga pengeluar lesen.
Mengenai perkembangan lain, Abdul Khalid berkata Selangor kini melaksanakan konsep 'Baldatun Taiyibatun Wa Rabbun Ghafur' (negeri yang makmur dan mendapat keampunan Tuhan) dalam usaha menjadi negeri yang mencapai kemakmuran sebenar.
"Sebenarnya masih belum cukup mengatakan lihatlah betapa majunya Selangor, kerana kalau maju dan kaya sahaja tetapi kehidupan masih tercengkam maka kemajuan dan kekayaan tersebut bukanlah kemakmuran yang ingin dicorak," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan