SHAH ALAM : Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak akan berjaya mencapai matlamatnya untuk menambahbaik kualiti operasi jika ahli jawatankuasa yang dilantik tidak bebas dan mempunyai talian dengan badan tersebut.
Ahli Parlimen Kuala Krai, Dr Hata Ramli berkata apa yang rakyat diinginkan adalah sebuah jawatankuasa yang tidak berkepentingan dan tidak berat sebelah dalam menganalisa apakah prosedur yang perlu diperbaiki bagi memulihkan integriti SPRM, yang tercalar teruk mutakhir ini.
"Saya khuatir juga kalau SPRM mengemukakan cadangan, ia tidak boleh dilaksanakan kerana tekanan daripada pihak eksekutif. Jadi yang lebih penting adalah memastikan SPRM ini betul-betul bebas," katanya.
SPRM sebelum ini berkata pihaknya akan mengadakan sebuah jawatankuasa bagi memperbaiki prosedur lemah yang diamalkan badan tersebut sebelum ini dalam menyiasat segala dakwaan rasuah terhadap mana- mana individu.
Semalam, SPRM mengumumkan penubuhan jawatankuasa itu yang dikenali dengan nama Jawatankuasa Esekutif Tranformasi.
Jawatankuasa itu akan bertanggungjawab dalam meningkatkan prestasi kualiti, pentadbiran mekanisme penyeliaan, memantau dan melaksanakan reformasi sktruktur dan pengurusan SPRM, keberkesanan siasatan, memantapkan pencapaian fungsi operasi melalui pembangunan modal insan dan memajukan keupayaan siasatan perakaunan forensik.
Namum belum pun bermula tugasan pertama jawatankuasa itu mula dipertikai banyak pihak.
Ia berikutan senarai panel yang dilantik mengisi kerusi jawatankuasa itu terdiri daripada pegawai pengurusan tertinggi, anggota jawatankuasa dan panel SPRM sendiri.
Antara yang dilantik adalah Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Seri Abu Kassim Mohamed dan dianggotai oleh Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM (Operasi,) Datuk Mohd Shukri Abdul, Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM (Pengurusan dan Profesionalisme), Datuk Zakaria Jaafar, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Datuk Sutinah Sutan dan Anggota Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah, Tan Sri JS Rashpal Singh.
Selain itu, Anggota Panel Penilaian Operasi Datuk Zamani Abdul Ghani, Anggota Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah Datuk Seri Azman Ujang, dua pakar perundangan iaitu bekas Hakim Mahkamah Rayuan dan Pengerusi Jawatankuasa Aduan SPRM, Datuk Mohd Nor Abdullah, bekas Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Abdul Kadir Sulaiman serta salah seorang anggota suruhanjaya siasatan diraja.
Hata tetap menegaskan, jika benar SPRM komited mahu membersihkan imejnya, badan tersebut perlu akur dan melantik individu yang bebas dan tidak cenderung kepada mana- mana pihak.
"Adalah lebih baik satu jawatan kuasa panel bebas yang lain ditubuhkan untuk mengkaji perubahan-perubahan dan memberikan cadangan kepada SPRM ini. Kalau jawatan kuasa dalam itu sendiri kita boleh jangka apa keputusan yang dibuat akan menurut kehendak pihak eksekutif," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan