KUALA LUMPUR - Sebuah kumpulan yang menggelarkan diri sebagai 'Mahasiswa Aman' menyerahkan memorandum bantahan kepada Presiden Perkasa, Dato' Ibrahim Ali mendesak agar menghentikan sebarang penganjuran Perhimpunan yang dirancang pada 9 Julai ini.
Akmal Saufi Mohd Khalid yang mewakili Kumpulan tersebut mendakwa, tindakan mereka bukan mempunyai sebarang kepentingan politik akan tetapi memperllihatkan kebimbangan masyarakat akibat pertembungan 3 Kumpulan yang mempunyai ideologi berbeza pada hari tersebut.
Ini katanya akan menyebabkan berlakunya kekecohan yang akan memberi kesan pada warga masyarakat sekitar lokasi Perhimpunan di Kuala Lumpur.
"Bukanlah kami (menyebelahi) pada satu-satu pihak, kami adalah mahasiswa yang neutral yang mementingkan dan merisaukan keselamatan rakyat Malaysia," katanya.
Penyerahan tersebut dibuat selepas Sidang Media bersama Presiden Perkasa pada petang semalam.
Sementara itu, Dato' Ibrahim Ali dalam Sidang Media mendakwa, Perkasa akan meneruskan Perhimpunan tersebut jika BERSIH masih mengambil keputusan untuk menganjurkan BERSIH 2.0 pada Sabtu ini.
Ahli Parlimen Pasir Mas itu juga berkata, tindakan Perkasa bukan menafikan pandangan Yang Di Pertuan Agong akan tetapi Perkasa akan bertindak dalam memastikan keselamatan negara terjamin dan imej negara tidak terjejas dengan perhimpunan itu.
Yang DiPertuan Agong sebelum ini bertitah agar menghentikan sebarang perancangan bagi melaksanakan sebarang bentuk Perhimpunan pada 9 Julai ini dan memberi ruang untuk menyelesaikan isu-isu berbangkit melalui meja rundingan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan