HALAMAN SANTAI

Sabtu, 2 Julai 2011

Pelatih NIEI didakwa ‘ejen asing’ dihantar pulang Korea


KUALA LUMPUR — Seorang pelajar dari Korea Selatan yang sebelum ini didakwa sebagai ‘ejen asing’ di sebalik isu Himpunan Bersih 2.0 telah dihantar pulang ke negaranya malam tadi.

“Dia sudah dideportasi malam tadi dan sudah pun sampai di Korea pagi tadi,” kata Setiausaha Agung Institut Nasional Integriti Pilihan Raya (NIEI) Amin Iskandar kepada The Malaysian Insider hari ini.

Song, 24, pelajar Universiti Chonnam, yang sedang menjalani latihan amali di NIEI, sebuah badan pemantau pilihan raya tempatan, sejak awal tahun ini.

Dia ditahan ketika menyertai program Parti Sosialis Malaysia yang menjelajah Johor Sabtu lalu bagi menjalankan kajiannya untuk NIEI dan ditahan semula awal minggu ini di bawah Akta Imigresen.

Laporan media sebelum ini mendakwa Song memiliki pasport palsu.

Ekoran tangkapan kali kedua itu dia dan seorang aktivis dari Filipina Romeo Castillo, yang turut menghadiri program PSM bulan lalu, dilabelkan sebagai ejen asing.

Sambil mengesahkan pasport milik Song adalah sah, Amin berkata, sebelum dihantar pulang dia telah disoal siasat oleh pihak imigresen terlebih dahulu.

“Ya, dia datang secara sah,” katanya lagi.

“Kami juga tidak diberitahu secara terperinci... cuma semalam kami diminta untuk hantar barang-barang dia ke kedutaan,” katanya lagi.

Amin berkata beliau tidak terkejut dengan perkembangan itu dan memang sudah menjangkakan bahawa dia akan dihantar pulang selepas ditahan.

Katanya, oleh kerana kes ini sudah jadi “politik”, pelajar berkenaan menjadi “mangsa kambing hitam.”

Sebelum ini, Amin berkata, Song berada di negara ini bagi membuat penyelidikan mengenai pilihan raya dan terlibat dengan kerja-kerja sukarelawan yang mana dia membantu NIEI untuk membuat kerja-kerja penyelidikan, bukan sebahagian daripada Bersih 2.0.

Jelasnya, penglibatan Song dalam siri jelajah Bersih 2.0 termasuk di Johor hujung minggu lalu adalah atas arahan NIEI dan sebahagian daripada tuntutan penyelidikannya.

Katanya, penyelidikan dilakukan Song menjurus pada soal pilihan raya — perbezaan antara Malaysia dan Korea Selatan.

Tiada ulasan: