KUALA LUMPUR— Pensyarah Kolej Islam Antarabangsa Mohd Hassan Adli Yahya@Hassan, 26, dinobatkan sebagai juara Imam Muda musim kedua selepas menewaskan pencabarnya, seorang Guru Besar sekolah agama di Perak, Nazrul Izwan Zolkiflee.
Kemenangan itu membolehkan Mohd Hassan Adli menerima biasiswa pengajian ke Universiti Antarabangsa Al-Madinah di Arab Saudi, pakej haji dan umrah, kereta Proton Exora serta wang tunai RM55,000.
Selain itu, beliau menerima trofi, sijil penyertaan serta kad tauliah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan dan Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, serta hadiah sampingan lain termasuk pakej percutian ke Vietnam, perabot jati bernilai RM15,000, komputer riba dan sebuah kamera digital.
Nazrul Izwan pula menerima biasiswa pengajian ke Universiti Antarabangsa Al-Madinah, pakej umrah, wang tunai RM20,000 serta pakej percutian ke Vietnam dan perabot jati bernilai RM10,000 selain komputer riba, kamera digital, trofi, sijil penyertaan dan kad tauliah Jawi serta Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan.
Hadiah disampaikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom.
Kemuncak program yang mengangkat peranan imam ke kaca televisyen itu berlangsung di Dewan Muktamar, Kompleks Pusat Islam di sini malam tadi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan